Rafizal Ali
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Rafizal Ali bercakap kepada media ketika hadir untuk membuat laporan polis berhubung dua isu surat palsu yang salah satu guna tandatangan Menteri Pertahanan bagi kelulusan projek berkaitan kementerian di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPURĀ – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini membuat dua laporan polis berhubung dua surat palsu menggunakan tandatangan dan cop rasmi menterinya, Mohamad Sabu bagi tujuan perolehan kontrak.

Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan khas kepada mana-mana syarikat dari Kelantan bagi perolehan kontrak untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Surat pertama bertarikh 9 Disember 2018 dari sebuah syarikat memohon sokongan khas daripada Menteri Pertahanan berhubung pembekalan perabot kepada ATM.

“Pada surat ini tertera cop terima daripada pejabat Menteri pada 24 Disember 2018, juga tandatangan dan cop nama Menteri bertarikh 9 Disember 2018 serta nota arahan Menteri bertulis ‘sila uruskan permohonan kepada syarikat ini bagi pembekalan perabot Kelantan dan Perak sehingga selesai.

“Setelah meneliti dengan pihak berkaitan, ingin ditegaskan bahawa Menteri Pertahanan tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan kepada syarikat berkenaan dan tandatangan, cop rasmi serta nota arahan itu bukan daripada Menteri atau pejabat Menteri Pertahanan,” katanya pada sidang media, di sini.

Rafizal Ali
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Rafizal Ali (tengah) menunjukkan kenyataaan mengenai dua isu surat palsu yang salah satu guna tandatangan Menteri Pertahanan bagi kelulusan projek berkaitan kementerian di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2019

Terdahulu Rafizal bersama Mejar (B) Razali Zakaria membuat dua laporan polis terhadap dua surat yang memalsukan tandatangan, cop nama dan nota arahan didakwa milik menterinya, Mohamad Sabu.

Rafizal juga menegaskan, pihaknya tidak pernah menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas ATM kepada sebuah syarikat yang berpengkalan di Sungai Petani, Kedah.

“Surat kedua bertarikh 17 Januari 2019 daripada Bahagian Perbendaharaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam Tentera Laut didakwa menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan kepada syarikat tersebut.

“Turut disertakan adalah sijil pelantikan sebagai pembekal bagi tempoh kontrak selama lima tahun bermula Februari 2019 hingga Februari 2024.

“Setelah kami meneliti surat berkenaan, kami ingin tegaskan bahawa tiada surat tawaran seperti mana terkandung dalam surat tersebut dikeluarkan oleh jabatan kerajaan itu,” katanya.

Katanya, bagi mengelakkan nama menteri dan kementerian terjejas akibat penyalahgunaan maklumat sulit itu, beliau membuat laporan polis bagi memastikan ia tidak menjejaskan integriti dan nama baik menteri.

“Laporan polis inii dibuat bagi mengelak sebarang kesan dan akibat yang tidak baik daripada pemalsuan dan penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian seperti kedua-dua surat palsu ini,” katanya. – MalaysiaGazette