Calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali turut hadir melawat proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Gara-gara tertinggal pas, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali hari ini terlewat untuk meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketiadaan pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu telah menyebabkan pengawal keselamatan di pintu masuk Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batallion Ke-4, tidak membenarkan Aiman masuk ke kem tersebut.

Beliau yang ditemui media mengakui terlewat untuk berbuat demikian namun menyatakan telah tiba di pintu pengawal tersebut sejak pukul 8.50 pagi.

“Ada sedikit masalah, pas calon saya ini berada bersama dokumen-dokumen lain di dalam sebuah lagi kereta yang telahpun bergerak ke Kuala Lumpur, itu yang menyebabkan saya terlewat kerana perlu menunggu pas tersebut.

“Namun begitu, apa yang jelas pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan telus. Walaupun saya calon dari PH, saya tetap tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat mengundi bagi pengundian awal PRK Semenyih di Dewan Serbaguna, Kem PGA Batallion Ke-4, Semenyih di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Aiman tiba di pusat pengundian awal tersebut kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Ketiadaan beliau pagi ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan media yang menunggunya sejak pusat pengundian awal dibuka pada pukul 8.00 pagi.

Tiga calon lain bagi PRK Semenyih bagaimanapun telah tiba lebih awal di pusat pengundian tersebut yang merupakan salah satu daripada dua pusat pengundian awal yang dibuka sempena PRK Semenyih.

Calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi tiba kira-kira 8.50 pagi manakala calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul tiba kira-kira pukul 9.50 pagi diikuti calon bebas, Kuan Chee Heng kira-kira 10 minit kemudian.

Ketiga-tiga calon itu kemudiannya beramah mesra dengan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang turut melawat pusat pengundian awal berkenaan. – MalaysiaGazette