SEMENYIH – “Marah, geram, sedih dan yang pasti kita rasa terkilan kerana dalam saat kita rasakan kehilangan, ada pula kenyataan sedemikian,” luah Adibah Ahmad.

Balu kepada Allahyarham Dr. Shaharuddin Badaruddin iatu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu bukan sahaja bercakap bagi pihaknya malah beliau mewakili keluarga bekas ADUN Balakong, Sungai Kandis dan Semenyih yang meninggal dunia menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Saya bagi pihak keluarga saya dan mewakili keluarga lain yang hadir hari ini  mohon agar pihak yang mengeluarkan kenyataan berkait kematian suami dan
bapa tercinta kami agar menarik balik kenyataan yang telah mengguris hati kami
sekeluarga, semua rakan taulan dan kenalan arwah.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat, latar belakang parti politik
yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian.

“Inilah qadaq dan qadar Allah SWT. Kami sekeluarga mendoakan supaya tiada lagi unsur-unsur kempen yang melampaui batas norma dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia.

“Kenyataan dia ini bukan sahaja liar, malah kenyataan yang sangat biadab. Bukan
sahaja biadab pada waris tetapi dia biadap pada Tuhan. Dia seolah-olah menjadi
wakil Tuhan menurunkan hukum,” katanya yang membacakan kenyataan mewakili keluarga ADUN-ADUN yang meninggal dunia itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Ahli Majlis MPKJ d sini, hari ini.

Kenyataan tersebut turut menamakan Rohani Abdul Sattar (Balu Allahyarham Mat Suhami Mat Shafiei), Loh Hwa Hong (balu Mendiang Eddie Ng Tien Chee) dan Fitri Al-Amin Bahtiar (anak Allahyarham Bahtiar Mohd Nor).

Sementara itu ADUN Teratai Lai Wai Chong berkata, pihaknya memberi beri dua hari kepada Satim Diman untuk meminta maaf dan akan mengeluarkan kenyataan sekali lagi jika beliau gagal berbuat demikian.

Ketua UMNO Bahagian Puchong Datuk Mohamed Satim Diman dilaporkan berkata, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau didakwa berkata Allah telah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

Kesemua PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dimenangi oleh calon daripada PH. – MalaysiaGazette