Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (kanan) menunjukkan buku Laporan Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-2 di Hotel Le Meridien, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing akan melaksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat  dalam tempoh terdekat. 

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mekanisme tersebut mengambil kira aspek intergrasi data, kesediaan pihak kerajaan dan syarikat. 

Dalam masa yang sama, jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memastikan nisbah kebergantungan pekerja asing yang ditetapkan iaitu 75 peratus dipatuhi. 

“Bagaimanapun bagi sektor pekilangan nisbah kebergantungan pekerja asing bagi mekanisme levi pelbagai peringkat yang dibenarkan hanya 75 peratus bukan lebih daripada itu.

“Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keperluan majikan syarikat sektor perkilangan yang mengajikan pekerja asing melebihi nisbah yang dibenarkan secara case to case basis bagi memastikan operasi syarikat tidak terjejas,” jelas Muhyiddin.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing bilangan kedua di Putrajaya hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu wakil Kementerian Kesihatan, Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi sektor restoran, Jawatankuasa di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tambahnya telah bersetuju  jawatan bagi kategori Tukang Masak dan Pembantu Dapur dibenarkan kepada pekerja asing. 

Muhyiddin mengingatkan semua majikan agar mengambil tenaga kerja melalui saluran yang betul dan tidak melanggar Akta Kerja 1955 dan Akta Imigresen 1959.

Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga 20 Februari lalu, Jabatan Imigresen Malaysia telah menahan seramai 148 majikan dan 7,847 orang pendatang tanpa izin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast