Home Nasional Lamanya Saifuddin buat kajian kos sara hidup – Najib

Lamanya Saifuddin buat kajian kos sara hidup – Najib

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution menerima perlian kerana mengambil masa yang lama untuk membuat kajian terhadap punca peningkatan kos sara hidup.

Ini kerana, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tugas itu dilakukan terlebih dahulu oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan mereka mendapati kos menjalankan perniagaan di Malaysia meningkat sehingga 10 peratus selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan.

“Tepukkkk. SST naikkan kos sebanyak 10 peratus.

“Lama juga Saifuddin Nasution buat kajian kos sara hidup.

“Belum siap-siap lagi rasanya.Ini, orang lain dah buat kerja dia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, dapatan kajian itu terbukti SST meningkatkan kos, selain mengakibatkan pendapatan negara hilang berpuluh bilion.

Malah, dalam masa yang sama tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai berkata, kira-kira 85 peratus pengilang Malaysia terpaksa menghadapi peningkatan kos pengeluaran disebabkan oleh SST pada separuh kedua 2018.

Kajian ini ditepis oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini dan mempersoalkan adakah kaji selidik yang dijalankan oleh FMM dan MIER itu itu benar-benar mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan SST atau dipengaruhi faktor lain.

Pada 24 Januari yang lalu, Saifuddin memaklumkan bahawa kementeriannya telah memulakan kajian lebih komprehensif mengenai punca peningkatan kos sara hidup dan dijangka  siap dalam tempoh dua bulan.

Katanya, Jemaah Menteri mengakui terdapat enam komponen  menyumbang kepada beban hidup rakyat iaitu makanan, perumahan. kos utiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.-MalaysiaGazette