Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan gimik Pelancaran Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2019.

PUTRAJAYA – Malaysia muncul negara pertama di dunia yang membangunkan indeks bagi mengukur amalan budaya sukan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana indeks itu diukur berdasarkan lima domain dan lapan indikator.

Menurut beliau, ia berbeza negara-negara lain yang hanya fokus kepada kadar penglibatan dalam kalangan rakyat mereka.

“Indeks ini bertujuan untuk mengukur tahap dan trend budaya sukan rakyat negara ini dan merupakan pengukuran saintifik yang komprehensif untuk menilai pembudayaan sukan.

“Indeks ini juga dapat digunakan bagi penambaikan polisi dan program yang berkaitan dan pemegang taruh yang terlibat.

“Selain itu, ini juga membantu pembentukan pelan tindakan yang menyasarkan 50 peratus rakyat Malaysia mengamalkan budaya sukan menjelang 2020,” katanya kepada media selepas melancarkan Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menambah, pembinaan infra sukan pada masa akan datang bakal memberi fokus kawasan yang bersasar.

Jelas beliau, apa yang penting, infra tersebut tidak memerlukan kos yang mahal.

Sebaliknya ia mementingkan kawasan terbuka dan hijau yang didiami komuniti yang ramai dalam usaha merakyatkan budaya sukan.

“Infra tersebut tidak perlu semata-mata gelanggang futsal, namun kawasan taman untuk riadah bagi aktiviti berjogging, yoga atau zumba.

“Malah kementerian juga selepas ini akan membina infra sukan di kawasan yang memiliki kes-kes gejala dadah dan gangster kerana kajian menunjukkan ia dapat mengurangkan gejala negatif di luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette