Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Seorang wanita yang juga pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih membuat laporan di Balai Polis Semenyih semalam selepas mendakwa menerima ancaman daripada pihak-pihak tertentu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah.

“Pengadu merasakan diri dan ahli keluarga terancam kerana didakwa ada unsur paksaan mengundi. Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu pengaruh tidak wajar,” kata Mohd Sabri dalam sidang media harian di Balai Polis Semenyih, hari ini.

Menurut beliau, pengadu yang berusia 40-an itu membuat laporan berkenaan pada jam 2.27 petang kerana dipaksa untuk mengundi sebuah parti politik.

Memetik laporan UMNO Online, wanita berkenaan mendakwa beliau dipaksa untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih.

Menurut laporan berkenaan, wanita itu didakwa dalam proses membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebenar pengadu wanita ini ingin membuat pinjaman melalui agensi kerajaan dan masih dalam proses mendapatkan pinjaman tersebut.

“Dalam laporan polis, pengadu berkata, kakitangan agensi kerajaan ini telah menetapkan syarat tertentu dan tidak boleh dinyatakan kerana masih dalam siasatan,” jelas Mohd Sabri lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini 11 kertas soalan sudah dibuka oleh polis.

Ini termasuk satu laporan polis daripada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 35 laporan polis telah diterima pihaknya dalam pelbagai laporan.

Mohd. Sabri berkata, sejak kempen bermula 16 Februari lalu sehingga kini sebanyak 314 permit ceramah telah dikeluarkan polis untuk parti politik dan calon bertanding.

Paling banyak diterima adalah daripada PH dengan 161 permit, BN dengan 135 permit, PSM 10 dan calon Bebas 8. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast