Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kanan) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Expo Hartanah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Bagi merealisasikan agenda 1 juta rumah mampu milik, usaha serta tanggunggjawab itu tidak seharusnya terletak di bahu kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan-kerajaan negeri juga disaran melaksanakan komitmen masing-masing terutama daripada segi penyediaan tanah bagi pelaksanaan pembangunan perumahan.

Begitu harapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu semua pihak bergandingan dalam memastikan impian itu menjadi kenyataan.

“Kerajaan juga telah berjanji akan membina 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun. Sehubungan itu, bagi tempoh lima tahun ini kerajaan perlu menyasarkan untuk membina sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik.

“Pembangunan rumah yang berkualiti dan dijual pada harga yang mampu miliki adalah bertujuan agar rakyat dapat menikmati pendapatan bagi menampung sara hidup yang selesa dan juga kualiti hidup yang sejahtera.

“Semua pihak kena main peranan, kerajaan pusat kena berganding bersama-sama pikul komitmen ini serta pihak berwajib lain baru impian ini dapat direalisasikan,”

“Pihak pemaju swasta juga perlu memberi kerjasama akan keperluan ini dan sedia melabur bagi pembangunan rumah untuk rakyat.

“Pengusaha industri perumahan juga berpeluang melabur dalam teknologi baharu pembinaan rumah kerana sudah ada kilang bahan binaan rumah mampu milik dan dipasang dengan cepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC) anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini hari ini.

Majlis itu juga dihadiri bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dalam pada itu, Mahathir turut memberi penekanan secara dasarnya harga rumah mampu milik harus di bawah RM300,000 berikutan taraf hidup penduduk hari ini telah telah meningkat naik.

“Kerajaan amat memahami harga rumah adalah tidak seperti dahulu. Harga rumah murah pada masa lalu sekitar RM25,000 tetapi harga rumah yang sama pada masa kini boleh mencecah sehingga RM130,000 bahkan lebih lagi.

“Ini memberi gambaran bahawa nilai rumah, walaupun asalnya rumah murah, juga telah meningkat.

“Inilah kedudukannya sekarang dan cabaran yang Kerajaan hari ini hadapi ialah untuk menyediakan seberapa banyak rumah mampu milik bagi rakyat di bandar-bandar di sekitar negara kita.

“Selaras dengan Dasar Perumahan Negara, kerajaan sentiasa komited bagi memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki.

“Tiada makna bagi sesebuah negara mencapai kemajuan tetapi rakyatnya tinggal di rumah yang daif dan tidak menepati piawaian minimum perumahan,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast