Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia kini melebarkan sayap e Fukuoka, Jepun.

FUKUOKA AirAsia memulakan penerbangan terus ke satu lagi destinasi, dan kali ini syarikat tambang murah itu meneroka Fukuoka, Jepun menerusi penerbangan terus dari  Kuala Lumpur.

Fukuoka menyertai senarai destinasi jarak jauh AirAsia  dalam penerbangan empat kali seminggu antara Kuala Lumpur dan bandar terbesar Kyushu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, lebih daripada 156,000 tempat duduk setahun akan ditawarkan bagi laluan baharu ini.

Ia sekaligus memberi peluang kepada para tetamu untuk menempah perjalanan tambang rendah ke satu lagi destinasi menakjubkan di selatan Jepun itu.

Sejak melancarkan penerbangan ke Jepun dari Malaysia pada 2010, AirAsia telah menerbangkan lebih dari 6.5 juta tetamu antara kedua-dua negara ini.

Kini, syarikat penerbangan tersebut mengendalikan perkhidmatan antarabangsa ke Jepun dari Kuala Lumpur, Bangkok dan Taipei dengan penerbangan sambungan dari Malaysia ke Honolulu, Amerika Syarikat yang beroperasi melalui Osaka.

“Laluan baharu ini menandakan komitmen kami untuk terus membangun pertumbuhan kami di Jepun, dan kami yakin laluan ini akan memberi peningkatan signifikan kepada ekonomi tempatan.

“Sekalung penghargaan kepada rakan kerjasama termasuk pihak berkuasa lapangan penerbangan, agensi pelancongan dan kerajaan tempatan yang berkenaan dalam menjayakan laluan baharu ini,” kata Benyamin.

Gabenor Wilayah Fukuoka Hiroshi Ogawa, Timbalan Datuk Bandar Fukuoka Masanao Nakazono,  Pengurus Lapangan Terbang Fukuoka, Biro Penerbangan Awam Daerah Osaka Fumito Ohya dan Pengarah Perwakilan dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka Tetsuya Nagasao mengalu-alukan kedatangan Penerbangan AirAsia D7 538 di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pagi ini.

Untuk meraikan penerbangan sulung ini, AirAsia menawarkan tambang bermula dari RM299* bagi tempat duduk biasa dan RM1,099* bagi tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bermula dari sekarang sehingga 9 Mac 2019, bagi tempoh perjalanan segera hingga 28 Oktober 2019.

Ahli AirAsia BIG juga boleh menebus tempat duduk di airasiabig.com atau aplikasi mudah alih AirAsia BIG dan menerima 1,000 mata ganjaran BIG** bermula hari ini hingga 9 Mac 2019,  pada masa yang sama Vidi juga menawarkan potongan 10% tambahan bagi aktiviti pelancongan dan lawatan terpilih di Fukuoka dengan menggunakan kod diskaun ‘FUKUOKA10’ di laman deals.airasia.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast