Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) ke-23 di Dewan Bangsawan, Aras 2, Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Cyberjaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2019

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan menyasarkan kutipan sebanyak RM147 bilion yang perlu dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah kutipan yang disasarkan itu merupakan peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding pencapaian pada tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, beliau difahamkan bahawa LHDN mampu mengutip lebih daripada sasaran tersebut iaitu RM150 bilion ekoran keyakinan tinggi pembayar cukai terhadap kerajaan yang bersih dan telus pada masa ini.

“Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus atau CAT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Hasil 2019 di Menara Hasil di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan masih berkeyakinan bahawa perkembangan ekonomi negara akan terus kukuh pada kadar 4.9 peratus pada tahun ini.

Katanya, perkembangan tersebut dipercepatkan dengan konsistensi polisi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha merekalibrasi ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan berkualiti tinggi.

“Menyentuh kepada dasar kualiti dasar fiskal dan monetari yang dilaksanakan oleh kerajaan, negara kita sekarang berada dalam fasa pemulihan dengan pelaksanaan Pelan Konsolidasi Fiskal tiga tahun.

“Selepas penstrukturan dan penyusunan semula pelbagai perkara, pihak kerajaan meletakkan harapan agar defisit fiskal tahun 2019 dapat dikurangkan kepada 3.4 peratus, tahun 2020 kepada 3.0 peratus dan seterusnya tahun 2021 diturunkan kepada 2.8 peratus atau kepada suatu kadar yang lebih rendah lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette