Rakyat disaran menggunakan minyak sawit dalam pelbagai bentuk dalam kehidupan seharian sebagai sokongan membantu kerajaan meningkatkan harga komoditi tersebut, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul Iskandar Mohd Akin.

KUALA LUMPUR – PKR memandang berat tuduhan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan fitnah terhadap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa membayar RM1.4 juta kepada pengasas Sarawak Report.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, parti itu nyata cuba untuk mengalihkan isu yang dihadapi Pas kini.

“Ini adalah rancangan tersusun pimpinan PAS untuk mengalihkan isu termasuk ancaman Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik untuk mengadakan Solat Hajat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bercakap berdasarkan khabar angin sedangkan Pas mempunyai dokumen.

“Ini bukan “politik matang” yang digembar-gemburkan PAS tetapi “politik dayus” untuk menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden PRK itu turut menggesa agar Pas segera mendedahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi menafikan bahawa RM1.4 juta dibayar kepada Sarawak Report.

Ujarnya ini adalah langkah pertama ke arah penyelesaian itu ialah dengan berlaku jujur dan menghentikan pembohongan.

“Pas mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan arena politik negara daripada amalan korup dan pembohongan.

“Ini tambahan pula selepas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh sendiri mengakui bahawa beliau diarahkan oleh pemimpin tertinggi PAS untuk melakukan pembohongan,” katanya lagi.

Pas kini dihimpit kontroversi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemimpin Pas bagi membantu siasatan penerimaan RM90 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diberi UMNO.

Antaranya Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang dipanggil semalam memberi keterangan kepada SPRM yang juga difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1MDB diberi UMNO.

Hari ini, dua lagi pemimpin dipanggil antaranya Mursyidul Am PAS, Datuk Hasim Jasin dan EXCO PAS, Nasir Daud.

Anwar di kempen PRK Semenyih mendakwa mempunyai bukti berhubung dakwaan Pas membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kononnya bagi menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Perkara itu disahkan Clare apabila memuatnaik sekeping cek bagi membuktikan bahawa pihaknya ada menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi Awang di luar mahkamah pada bulan lalu. -MalaysiaGazette