SEMENYIH – Dengan wajah sayu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih,Muhammad Aiman Zainali akur dengan kekalahannya kepada Zakaria Hanafi.
Menurut Aiman, bukan rezekinya untuk menang kerusi yang pernah disandang oleh arwah bapa mentuanya, namun menerimanya dengan redha.
“Ini bukan rezeki saya. Tidak apalah, yang pasti semangat juang saya masih sama. Saya tidak akan ke mana-mana sebaliknya akan terus aktif berpolitik.
“Semua yang telah saya janjikan termasuk impian membina hospital itu akan saya usahakan dengan kerajaan. Saya akan cuba sedaya upaya.
“Tidak ada sebarang perubahan, saya akan terus berkhidmat di Semenyih. Tempat tinggal sendiri masih lagi sama, saya masih penduduk di sini.
“Kalah atau menang, saya akan terus berjuang dan menguatkan diri serta parti di sini,” katanya ketika ditemui sebentar tadi di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih.
Sekurang-kurangnya hampir 100 penyokong PH rata-ratanya Bersatu turut berada di sebelah Aiman dan memberikan kata-kata semangat serta sokongan kepadanya.
Ada juga dilihat emosional dan mengalirkan airmata namun kawasan itu yang pada awalnya suram kemudian menjadi tenang apabila melihat Aiman bercakap kepada media.
Laungan Pakatan Harapan kedengaran begitu kuat oleh penyokong-penyokong Aiman.
Tetapi tidak nampak seorang pyn kelibat pimpinan utama PH atau PPBM.
Dalam pada itu, Aiman turut melahirkan penghargaan kepada semua khasnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak henti-henti memberi semangat serta dorongan kepadanya.
“Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua terutamanya jentera PH, penyokong, media dan tidak lupa kepada penduduk Semenyih,” ujarnya.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar sebentar tadi mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di Kajang.
Zakaria mendapat 19,780 undi menang dengan majoriti 1914 undi manakala Aiman pula memperolehi 17,866 undi.
Calon PSM, Nik Aziz Afiq mendapat 845 undi sementara Uncle Kentang atau Kuan Chee Heng 725. -MalaysiaGazette