Mohamad Hassan
Mohamad Hassan

SEMENYIH – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap kawasan yang ditandingi Barisan Nasional (BN) menawarkan cabaran tersendiri, justeru pihaknya akan memberikan yang terbaik untuk mengulangi kemenangan Semenyih dan Cameron Highlands di Rantau pula.

Bercakap dalam sidang media selepas pengumuman kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi bagi PRK Semenyih, Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO menyorot peribahasa Melayu: “Kita tak sebut kita yakin, kita akan cuba. Lain padang lain belalang kan. Lain permainan lain padang dia.”

Beliau berkata, senario di Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau  adalah tiga cabaran berbeza.

Di Semenyih, katanya, seolah-olah Pas yang bertanding kerana digasak sebegitu tetapi UMNO sebagai calon langsung tidak disebut-sebut.

“Kita tak tahu di Rantau siapa pula dia akan gasak,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau berharap momentum kemenangan dua kerusi itu akan diterjemahkan di Rantau yang mana beliau sendiri akan mempertahankan kerusi itu.

“Kedudukan kita di Rantau seperti bermain dam lah ya, dia dah makan kita empat, kita baru makan dua, boleh jadi kita makan lagi satu ya. Jangan tunggu sampai kita naik haji kita makan lapan ya,” begitu analogi Mohamad.

Sementara itu, Zakaria ketika diminta mengulas kemenangannya berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam mencapai kemenangan untuk dirinya dan juga BN. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Now that Tun & PH have understood both are Cornered Thieves & Liars, the options are NOT UMGOK NOR PAS to decide.

    Its a matter of time.

Comments are closed.