Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penanda aras FBM KLCI dijangka didagangkan rendah ke paras sokongan 1,680 mata minggu depan, didorong oleh ringgit yang lemah, harga minyak yang rendah serta kesan faktor geopolitik yang negatif, seperti ketegangan antara India dan Pakistan selain penyelesaian rundingan perdagangan AS-China yang perlahan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, ketahanan psikologi berada pada 1,700 mata, dan diikuti tahap ketahanan berikut pada sekitar 1,730 mata.

Mohd Nazri berkata pelabur masih enggan memasuki pasaran, masih menunggu perkembangan perang tarif selepas Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer berkata beliau lebih suka jika China menawarkan konsesi yang lebih besar berbanding membeli lebih banyak produk AS.

Sementara itu, ekonomi China menunjukkan keputusan data sektor perkilangan yang negatif buat bulan ketiga berturut-turut, dengan indeks pengurus pembelian pembuatan terus menyusut.

“Secara keseluruhan, kami percaya peningkatan sedikit dalam sektor perkilangan disebabkan China membuat pelaburan lanjut dalam infrastruktur selain peningkatan harga barangan perusahaan hasil daripada permintaan yang lebih tinggi ke atas komoditi.

“Sementara itu, dari segi geopolitik terkini, sidang kemuncak antara AS dan Korea Utara berakhir lemah, dengan impak segera dilihat dalam Kospi Seoul yang menyusut hampir dua peratus sebagai tindak balas kepada berita berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi pilihan saham, pelabur wajar menyasarkan produk pengguna yang defensif seperti Nestle (M) Bhd, Dutch Lady Milk Industries Bhd, dan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), kata Mohd Nazri.

Sementara itu, beliau juga berkata ringgit rendah berbanding dolar US kepada 4.0720/0770 pada Jumaat berbanding 4.0650/0680 pada Khamis, yang mencerminkan impak perkembangan baharu rundingan Brexit apabila pelabur beralih semula kepada aset yang lebih selamat.

“Dari aspek teknikal, FBM KLCI mencatatkan prestasi lemah, dengan indeks utama kini lebih rendah daripada paras sokongan 1,700 mata sebelumnya.

“Kami melihatnya sebagai tempoh rehat yang normal, selepas indeks menguji halangan aliran menurun pada sesi minggu lepas,” kata Mohd Nazri.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI ditutup 20.66 mata lebih rendah pada 1,700.76.

Indeks FBM Emas merosot 204.38 mata kepada 11,798.12, Indeks FBMT 100 turun 194.93 mata kepada 11,663.95 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 227.95 mata kepada 11,725.16.

FBM 70 susut 453.57 mata kepada 13,961.89 dan Indeks FBM Ace turun 65.22 mata kepada 4,650.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 111.26 mata kepada 17,729.46, Indeks Perladangan merosot 139.16 mata kepada 7,273.94, namun Indeks Perkhidmatan dan Produk Perusahaan meningkat 0.34 mata kepada 168.37.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.92 bilion unit bernilai RM11.74 bilion berbanding 15.75 bilion unit bernilai RM12.61 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 8.90 bilion saham bernilai RM10.87 bilion berbanding 10.84 bilion saham bernilai RM11.56 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.51 bilion unit bernilai RM533.22 juta berbanding 3.10 billon unit bernilai RM683.63 juta.

Jumlah dagangan di ACE Market susut kepada 1.50 bilion saham bernilai RM338.35 juta berbanding 1.80 bilion saham bernilai RM366.49 juta. – MalaysiaGazette