Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kiri) berpeluk bersama calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (tengah) selepas beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019.

KAJANG – Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib berterima kasih kepada pengundi Semenyih yang memilih Zakaria Hanafi sebagai wakil rakyat baharu kawasan ini.

Menurut beliau, kerjasama rapat antara UMNO dan Pas dilihat sebagai faktor terbesar dalam kemenangan parti itu kali ini.

“Kita nak ucap terima kasih kepada pengundi di DUN Semenyih sebab ada peralihan daripada sokongan kepada PH, sudah tentu ramai hari ini menyokong BN.

“Kedua kerjasama yang mantap antara UMNO dan Pas, merupakan satu faktor besar diatas kemenangan kita dan ketiga saya ucap terima kasih kepada semua pihak termasuk jentera UMNO, MCA, MIC dan juga badan NGO yang lain,” katanya selepas menyaksikan kemenangan calon BN di Semenyih.

Ini kali kedua, BN memenangi kerusi PRK hasil kerjasama dengan Pas selepas PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

Zakaria secara rasminya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan majoriti 1,914 undi.

Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada jam 9.19 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di Saujana Impian di sini.

Zakaria, memperoleh 19,780 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17, 866 undi.

Sementara itu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul memperoleh 847 undi manakala calon bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang yang menggunakan simbol telefon mendapat 725 undi.

Ditanya mengenai pandangan untuk PRK Rantau kelak, Najib berhadapan agar BN menyusun strategi yang mantap bagi memastikan kemenangan hatrik dalam tiga PRK berturut-turut.

“Di Rantau tentulah kita akan menyusun strategi dan ini tempat yang dekat dihati Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hassan), sudah tentu kita akan pandu kepada apa yang difikirkan sesuai untuk kawasan itu sebab kawasan itu ada keunikannya.

“Kita akan olah strategi kita dengan apa yang sesuai dengan apa yang kita fikirkan amat tepat dengan satu kawasan,” katanya lagi.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan akan diadakan selepas petisyen difailkan Mohamad Hassan ditolak Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden Umno itu untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pd zahir nya kemenangan di PRK Semenyih di lihat kemenangan BN. Tapi…

    …di belakang kemenangan BN tak lain, kemenangan Anwar vs Azmin.

    Kini Anwar berasa lapang dada, kini ANWAR melihat, tanpa beliau, PH terlalu rapuh.

    Kemenangan BN bukan sbb BN & PAS berjaya menunjukkan kekuatan, tapi lebih kerana krisis dalaman PH itu sendiri selain penurunan undi Cina & kaum India.

    PRK Semenyih, telah di gunakan sepenuh nya oleh UMGOK & PAS utk membuktikan keserumpunan Pencuri & Pembohong blh memang hanya dgn Isu Perkauman & Agama yg sempit.

    PH tidak perlu rasa gelisah dgn Penjenamaan Perompak & Pembohong tegar UMGOK & PAS.

    Yg PH perlu buat ketika ini, teruskan agenda pembaharuan, termasuk kesempadanan, membetulkan yg di lakukan oleh UMGOK/BN yg di guna pakai ketika ini.

Comments are closed.