Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

NAMA Datuk Seri Mazlan Lazim sememangnya tidak asing dalam dunia kepolisan. Pengalamannya bukan sedikit. 33 tahun bergelar polis bermula dengan jawatan Asisten Superitendan Police (ASP), Mazlan tidak menoleh ke belakang lagi.

Minat menyarung pakaian seragam bermula sejak kecil. Anak kelahiran Kuala Kedah ini memasang angan-angan mahu menjadi tentera. Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM), Mazlan memohon menyertai Polis Diraja Malaysia. Dan siapa sangka permohonannya diterima.

Dalam sibuk menjalankan tugas, beliau berkesempatan meluangkan masa menyambung pelajaran ke peringkat tinggi apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana (Master of Science Human Resource).

Ternyata kerjaya sebagai polis membentuk keperibadian Mazlan menjadi individu yang sangat berdisiplin dan tegas. Pernah seorang wartawan berkongsi pengalaman ‘kecut perut’ apabila dipanggil ‘mengadap’ Mazlan yang ketika itu bertugas di Kelantan.

Malah, wartawan MalaysiaGazette Kasthuri Jeevan yang berpeluang mendekati Mazlan juga dapat merasakan aura tegas beliau apabila mendengar perbincangannya bersama anak-anak buahnya sebelum temuramah bermula.

Mazlan yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa 23 Oktober lalu menggantikan Datuk Amar Singh.

MGF26022019_ DatukSeriMazlanLazim_08
Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

MalaysiaGazette: Jika tidak menjadi polis seperti sekarang ini, apa agaknya impian Datuk sejak kecil lagi?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Saya dulu masa kecil sebenarnya bercita-cita dan terdorong untuk menjadi anggota tentera kerana ayah saya merupakan tentera. Jadi ketika itu lagi, saya sudah nampak apabila seseorang itu memakai pakaian seragam beruniform, sudah wujudnya satu aura, ada karisma, ketampanan, ketrampilan dan sebagainya. Apabila kita berpakaian kemas, lahirnya displin dalam diri kita.

Ini telah beri dorongan kepada saya untuk mempunyai profesion seperti itu. Bagaimanapun ketika meningkat dewasa terutama ketika menuntut di universiti, cita-cita berubah kepada bidang kepolisan yang bagi saya sebenarnya lebih dekat dengan masyarakat, membantu rakyat. Demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, saya tukar profesion ingin menjadi tentera kepada polis.

MalaysiaGazette: Boleh Datuk kongsikan bagaimana karier Datuk sebagai polis bermula?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Saya memulakan karier polis pada bertarikh 2 Februari 1986 dengan jawatan kadet ASP selepas mendapat latihan di Pulapol. Posting pertama saya adalah di Melaka Tengah sebagai Pegawai Penyiasat Kanan yang kemudiannya dinaikkan jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Pentadbiran dengan kerja-kerja pentadbiran.

Saya kemudian ditukarkan pula ke Tanah Merah, Kelantan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah, kemudian Timbalan Ketua Polis Daerah Jenayah di Shah Alam bertugas selama dua tahun. Selepas itu saya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Pertanian (UPM).

Selepas tamat, saya ditukarkan ke Maktab Polis Kuala Kubu Bharu sebagai tenaga pengajar dan pensyarah sebelum ditukarkan ke Bahagian Latihan Bukit Aman untuk seketika sebelum menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Padang Besar berpangkat Supritenden, kemudian tukar ke Seberang Prai, Pulau Pinang berpangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP).

Saya kemudian ditukarkan ke Kelantan pula Ketua Jabatan Siasatan Jenayah sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Kelantan selepas berapa lama itu, saya dilantik menjadi Ketua Polis Kelantan.

Di sana saya menjawat itu selama dua tahun sebelum ditukarkan ke Putrajaya selama enam bulan sebelum ditukarkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur akhirnya menjawat jawatan Keetua Polis Kuala Lumpur sekarang.

MGF26022019_ DatukSeriMazlanLazim_05
Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

MalaysiaGazette: Apa yang Datuk rasa apabila menyertai pasukan polis dan diberi tanggungjawab yang besar?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Bagi saya jawatan ini sangat mencabar namun apabila memikirkan ianya tugasan mulia apatah lagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan, saya fikir ianya satu pahala besar, menabur jasa dan juga berpuas hati dengan perkhidmatan kepada rakyat serta negara.

Saya sudah berkhidmat dalam polis selama hampir 33 tahun.

MalaysiaGazette: Apa hobi Datuk?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Hobi saya sebenarnya menunggang motorsikal, dari zaman universiti saya telah membeli motorsikal jenis Honda Cup C70 dengan nombor platnya WJ 2622. Minat saya dengan motorsikal ini membawa saya kepada aktiviti berkonvoi ramai-ramai ke merata pelosok.

Saya meneruskan hobi ini setiap kali ada masa terluang bersama kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama dengan saya.

MGF26022019_ DatukSeriMazlanLazim_04
Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

MalaysiaGazette: Pengalaman paling mencabar yang pernah Datuk lalui sepanjang bergelar polis dalam tempoh 33 tahun ini?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Jika tanya saya soalan ini, ada satu kes yang saya akan ingat sampai bila-bila. Ianya tetap dalam ingatan saya sehingga ke hari ini. Kes yang saya anggap menjadi cabaran terbesar untuk saya ketika bertugas di Kelantan.

Ketika itu saya berjawatan Ketua Jabatan Jenayah Kelantan, kami berdepan dengan kes berprofil tinggi berkaitan sekumpulan penjenayah berbahaya dikenali sebagai ‘Geng Bakri Jalil’.

Saya tidak pernah dedahkan tentang kumpulan ini sebelum ini tetapi mereka pernah menganggu-gugat warga Kelantan satu ketika dahulu dengan jenayah rompak bersenjata api.

Kumpulan ini sangat digeruni oleh penduduk Kelantan ketika itu. Mereka terdiri daripada warga tempatan Kelantan dan warga Indonesia yang langsung tidak teragak-agak untuk membunuh dengan kejam menggunakan senjata api merompak kedai-kedai emas serta rumah orang berada.

Mereka sangat licik dan berbahaya. Mereka ini membuat kajian terlebih dahulu siapakah yang akan dirompak, harta serta nilai kekayaan tersebut sebelum membuat serangan. di mana  ada kalanya subuh, ada kalanya malam. Tidak menentu dan sukar untuk kita agak.

MGF26022019_ DatukSeriMazlanLazim_15
Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

Saya terpaksa bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menangkap semua suspek-suspek ini malah tekanan semakin memuncak serta ketakutan umum juga semakin bertambah. Mereka ketika itu bermaharajalela, apa yang menyukarkan kami adalah kumpulan ini melakukan samun, rompakan serta bunuh untuk satu tempoh sebelum melarikan diri ke Indonesia.

Kemudian selepas lebih sebulan, baru pulang kembali ke sini dan melakukan lagi banyak rompakan. Ianya sungguh sukar kerana modus operandi mereka menghilangkan diri untuk tempoh panjang sebelum kembali aktif. Kita hadapi cabaran di situ. Selepas hampir empat bulan berusaha, akhirnya kita dapat tumpaskan mereka dengan adegan tembak-menembak ahirnya kita berjaya menembak mati lima daripada mereka.

Modus mereka adalah samun serta rompak, jika melawan terus tembak mati. Agak mengerikan tindakan drastik mereka itu. Hasil rompakan selalunya amat lumayan sehingga boleh menyebabkan mereka hilang dari radar untuk tempoh cukup lama sebelum aktif kembali.

Sejurus selepas insiden itu, secara drastiknya kita dapat kurangkan kes samun di Kelantan ketika itu pada antara tahun 2007 atau 2008.

MGF26022019_ DatukSeriMazlanLazim_12
Temubual bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 FEBRUARI 2109

MalaysiaGazette: Pernah ada perasaan takut dalam diri Datuk apatah lagi berdepan dengan penjenayah berbahaya?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Tidak pernah ketika bertugas, terdetik perasaan takut itu. Entah mengapa tetapi perasaan takut tidak pernah wujud. Ketika berdepan dengan mereka, saya tidak takut malah anggap ini adalah tugas serta cabaran saya.

Itu adalah cabaran dan sentiasa berhadapan dengan mereka ini. Di Kelantan sahaja, ada beberapa kes tembak mati yang telah saya telah saya lakukan sendiri. Kes Bakri Jalil itu sebenarnya sesuatu yang menduga saya juga pada masa itu apatah lagi berdepan dengan satu kumpulan berbahaya serta berani lakukan apa sahaja.

Tetapi ketakutan itu tidak meresap dalam diri saya sebaliknya menjadi satu cabaran buat saya dan kumpulan sehingga tertumpasnya mereka. Jika takut atau gerun, ianya sukar untuk ditumpaskan.

MalaysiaGazette: Selain cekap menjalankan tugas secara fizikal, saya lihat Datuk juga mampu mengingati setiap fakta, angka dan sebagainya dengan begitu tepat sekali. Apa agaknya rahsia Datuk?

Datuk Seri Mazlan Lazim: (Secara seloroh) Saya makan pil khas. Sebenarnya jika mahu ingat semuanya kita perlu fokus pada subjek itu, bermakna jika kita hendak melaksanakan tugas, kita perlu fokus pada kerja tersebut. Jangan ada sebarang gangguan. Jika masuk perkara-perkara lain-lain seperti ‘tidak makan nasi lagi’, ‘tidak beli barang lagi’, ‘tidak cukup tidur’ atau permasalahan lain, maknannya fokus itu sudah tiada. Ini bukan satu tugasan mudah, ini adalah amanah berat perlu dipikul.

Saban hari sebelum keluar dari rumah, saya akan ingatkan diri saya tentang tanggungjawab serta amanah itu.

MGF02022019_ IPK KL_02
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. foto Ihsan PUSAT MEDIA IPK KL

MalaysiaGazette: Apa harapan Datuk dalam memikul tanggungjawab sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dalam keadaan cabaran menangani jenayah semakin canggih?

Datuk Seri Mazlan Lazim: Sebenarnya harapan saya sangat besar, paling mustahak ianya berkaitan dengan keselamatan dan keharmonian warga Kuala Lumpur ini. Pada saya, jika mengharapkan polis sahaja, tidak mungkin kita banteras semuanya sekelip mata sebaliknya hubungan dengan masyrakat, badan bukan kerajaan, agensi serta orang awam yang bersedia bersama-sama kita.

Tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sebenarnya membawa makna yang cukup signifikan dalam hubungan polis dan masyarakat. Apa yang jelas, masyarakat memerlukan pihak polis untuk menjaga kepentingan dan ke­selamatan mereka, manakala polis pula memerlukan kepercayaan, sokongan dan kerjasama masyarakat untuk sama-sama memelihara ketente­raman dan kedaulatan negara ini.

MGF02022019_ IPK KL_07
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. foto Ihsan PUSAT MEDIA IPK KL

Jelas sekali polis dan ma­syarakat tidak akan terpisah dan saling memerlukan dalam usaha menentukan keberkesanan pelaksanaan perundangan negara.

Maka dalam menjalin kerjasama ke arah membanteras jenayah, PDRM sedar bahawa rakan strategik utama kepada pihak polis adalah masyarakat itu sendiri.

Kerjasama yang erat ini serta kesepakatan yang padu antara polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi mewujudkan negara yang aman dan sejahtera dan ini adalah harapan utama saya selain daripada membanteras serta mengekang jenayah di sini adalah objektif utama saya.

Ada lapan teras yang telah gariskan termasuk banteras ragut, dadah, gangsterisme, pengganas, perjudian, pendatang tanpa izin serta jenayah penipuan seperti skim cepat kaya. Ini jika dibanteras dengan operasi saban hari oleh saya, Kuala Lumpur ini, nescaya bandar paling selamat. – MalaysiaGazette

https://www.youtube.com/watch?v=gbx2kR5mf0k&feature=youtu.be

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast