Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan penjawat awam yang berbeza pendirian politik supaya tidak melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan sedar ada kalangan penjawat awam yang mewarisi sokongan kerajaan lama.

Dr Wan Azizah berkata penjawat awam boleh berbeza dari segi fahaman politik namun untuk berkhidmat kepada rakyat adalah tidak wajar menggunakan perbezaan kelompok, kaum dan agama sebagai penghalang.

“Kerajaan faham dan hormati pendirian politik masing-masing. Namun saya ingin mengingatkan supaya jangan ada unsur-unsur sabotaj,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Mengenai usaha penjawat awam memanfaatkan media sosial sebagai ejen penyampai maklumat dan promosi perkhidmatan kepada masyarakat, beliau berkata ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam supaya mengetahui batas-batas perhubungan dalam komunikasi serta mematuhi etika penggunaan media sosial.

“Walaupun untuk mempertahankan diri jangan sesekali membalas kritikan netizen dengan bahasa yang kurang sopan,” katanya.

Dr Wan Azizah juga menasihatkan penjawat awam supaya tidak menjadi ejen berita palsu dan memeriksa terlebih dahulu apa-apa berita.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu mengenai peringatan beliau supaya penjawat awam tidak menyebarkan berita palsu, Dr Wan Azizah berkata : “Whatever is said and done, if it is not true it cannot be taken into account. You have to verify.”(Apa juga yang diperkata dan dilakukan, jika ia tidak benar ia tidak boleh diambil kira. Anda perlu mengesahkan.”)

Seramai 644 petugas KPWKM, jabatan dan agensi di bawahnya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang hari ini termasuk 10 penerima warga kurang upaya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast