Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kawalan harga minyak berjaya mengurangkan beban rakyat.

Ini terbukti apabila kadar inflasi bagi tahun 2018 telah menurun kepada 1.0 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun 2017.

“Di sini tentulah kita boleh lihat bahawa SST memainkan peranan mengurangkan kenaikan harga kalau dibandingkan dengan GST,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa berucap semasa pelancaran Belanjawanku – Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga di Malaysia.

Di bawah SST, hanya 7,000 perkara sahaja yang boleh dikenakan cukai berbanding lebih 12,000 semasa era GST.

Tambahan lagi, katanya, perkara yang dikecualikan daripada cukai telah meningkat 10 kali ganda daripada 500 kepada 5,000 perkara.

Penurunan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai dapat dibuktikan melalui pengurangan pendapatan kerajaan, yang mana kutipan tahunan bagi SST hanya RM21 bilion berbanding RM44 bilion ketika GST.

Pengurangan ini, kata Guan Eng bermakna beban cukai rakyat telah diturunkan dengan ketara.

Dalam ucapannya, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan sedar keperluan untuk memastikan kenaikan kadar gaji dapat menampung peningkatan kos sara hidup.

Sebab itulah, kerajaan menaikkan dan menyelaraskan gaji minimum kepada RM1,100 mulai Januari lalu.

Tambahnya, kerajaan akan meningkatkan lagi kadar gaji minimum kepada RM1,500 secara beransur-ansur dalam beberapa tahun seperti yang dijanjikan sebelum ini. – MalaysiaGazette