KUALA LUMPUR – Perpaduan orang Melayu di negara ini bukan hanya bergantung kepada kerjasama UMNO dan Pas sahaja.
Sebaliknya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berkata ruang lingkup populasi orang Melayu itu sangat luas meliputi banyak pihak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, orang Melayu bukan hanya berada di dalam UMNO dan Pas tetapi mereka juga berada dalam kelompok masyarakat tidak mempunyai parti selain mewakili persatuan tertentu.
“Yang penting bukan soal perpaduan Melayu sahaja namun memantapkan kedudukan agama Islam, memartabatkan bahasa dan menjaga semua kepentingan kaum dan rakyat.
“Bagi saya, isunya adalah pentabiran yang baik dan usaha telus membantu rakyat semua rakyat dan majoriti yang miskin dan terabai adalah orang Melayu.
“Namun perlu ditekan, kita tengok orang India di ladang yang perlu pembelaan dan begitu orang Cina serta kumpulan sesak miskin bandar pun masih wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Anwar diminta mengulas pertemuan buat pertama kali dalam sejarah UMNO dan Pas yang hari ini membincang untuk membentuk kerjasama demi perpaduan orang Melayu.
Beliau berpendapat pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah bijak kerana mampu menyelesaikan masalah terutamanya orang Melayu dan bukan Melayu di bawah B40 yang masih memerlukan pembelaan.
Ditanya gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Batu Uban dari PKR, A Kumaresan yang meminta beliau untuk segera menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Anwar menasihati ahli-ahli parti itu termasuk mana-mana pemimpin agar menghormati semangat PH dan pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Mahathir yang telah disepakati sebelum ini. – MalaysiaGazette