Ahmad Yusoff
Ahmad Yusoff

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengumumkan ketua jurulatih pasukan itu, Ahmad Yusoff direhatkan serta-merta berikutan prestasi yang kurang memberansangkan selepas mengharungi lima perlawanan Liga Premier.

Perkembangan itu diumumkan melalui laman Facebook rasmi FA Penang oleh Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah.

“Pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) telah mengadakan satu mesyuarat khas tengahari tadi bagi membincangkan prestasi semasa pasukan Liga Premier Pulau Pinang dan telah sebulat suara bersetuju membuat keputusan bahawa Ketua Jurulatih, Haji Ahmad Yusoff direhatkan serta-merta.

“Keputusan drastik ini diambil setelah menilai kesemua aspek prestasi semasa dan demi memperbaiki cabaran pasukan di dalam baki saingan Liga Premier 2019. Haji Ahmad Yusoff telah dimaklumkan berkenaan keputusan ini,” kata Amar Pritpal.

Ahmad Yusoff merupakan jurulatih ketiga yang ‘direhatkan’ susulan prestasi hambar selepas dua lagi jurulatih pasukan Liga Premier iaitu Mohd Fauzi Pilus (PDRM) dan Mohd Farhan Abdullah (Sarawak) turut berdepan tindakan yang sama oleh pengurusan pasukan masing-masing.

Selepas lima perlawanan, Pulau Pinang hanya mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk menghuni kedudukan kesembilan dalam carta liga. – MalaysiaGazette