Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar kenangan bersama penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2018 di Bukit Aman, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN) menyambut baik cadangan memansuh, menggubal dan menambah baik lebih 100 undang undang.

Cadangan tersebut meliputi Akta Hasutan 1948, SOSMA 2012 dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ia bakal dirujuk ke Parlimen yang bersidang bermula 11 Mac ini.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis menerusi jawatankuasa khas telah mengemukakan cadangan mengenai pemansuhan dan penggubalan undang-undang kepada kerajaan enam bulan lalu.

Menurut beliau, perbincangan termasuk maklum balas pakar dan pegawai polis, pesara polis dan persatuan polis.

“Kami sudah mengemukakan cadangan dan pertimbangan kami menerusi jawatankuasa khas.

“Pasukan berkenaan sudah memperincikan apa yang dipersetujui atau tidak dipersetujui dan bagaimana tindakan atau undang undang boleh menjejaskan sistem undang undang sepanjang perbincangan itu.

“Kini terpulanglah kepada Parlimen untuk menentukannya,” katanya dalam sidang media bersama Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 63 pegawai kanan dan anggota polis termasuk kakitangan yang berkhidmat bersama PDRM di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di sini.

Setiap pegawai dan anggota turut menerima sijil premium simpanan bernilai RM1,000 dalam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk pendidikan anak mereka.

Fuzi menyatakan harapannya supaya kerajaan mempertimbangkan segala cadangan polis itu secara teliti sebelum membuat sebarang keputusan.

Ujar beliau, cadangan pindaan dan penggubalan undang undang antaranya merangkumi hak kebebasan bersuara serta pemansuhan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Mohamad Fuzi mahu kerajaan mengutamakan 125 syor yang melibatkan kebajikan polis dan anggotanya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) pada tahun 2005.

“Kita sangat mengharapkan kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan polis dan pernah diutarakan secara lisan dan bertulis kepada kerajaan sebelum ini.

“Ia masih menjadi isu membimbangkan khususnya isu yang menjejaskan anggota dan pegawai berpangkat rendah,” ujarnya. – MalaysiaGazette