Phee Boon Poh.

PULAU PINANG – Air di Pulau Pinang hanya cukup untuk menampung permintaan penduduk selama 63 hari sebelum negeri itu berdepan kemungkinan gangguan bekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, negeri itu sedang berdepan implikasi El Nino dengan paras air Sungai Muda menurun sebanyak 50 peratus manakala simpanan di Empangan Air Hitam berkurangan sebanyak satu per tiga.

Boon Poh berkata, keadaan dijangka hanya bertambah baik apabila Pulau Pinang memasuki musim hujan pada April.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah untuk menghadapi kemungkinan yang boleh berlaku, ini termasuk melakukan pembenihan hujan jika keadaan memerlukan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau bagaimanapun berkata, bekalan air di Pulau Pinang dijangka mencukupi sehingga musim hujan sekiranya semua pihak cermat dalam penggunaan air.

Selain itu, katanya, kes kebakaran yang sering terjadi di kawasan perumahan, kilang dan belukar akibat cuaca kering turut membebankan pasukan bomba.

Beliau berkata, terdapat 35 pasukan bomba sukarela di Pulau Pinang dan setiap pasukan terlibat dalam dua atau tiga operasi setiap hari.

Kekerapan operasi menyebabkan banyak peralatan rosak dan perlu digantikan melalui sumbangan orang ramai. – MalaysiaGazette