KUALA LUMPUR – Pas mengecam ulasan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama politik parti itu dengan UMNO sebagai isyarat ‘perang’ terhadap golongan bukan Melayu di Malaysia.
Kenyataan bahaya itu boleh mencetuskan api permusuhan dan mengundang persekitaran tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurut Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasruddin Hasan, kerjasama politik Pas dan UMNO adalah satu tindakan untuk melindungi kedudukan Islam, menyatupadukan ummah dan membela kebajikan orang Islam.
Katanya, tidak ada satu pun kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan Pas yang mengecam golongan bukan Islam dan bukan Melayu, apatah lagi melancarkan permusuhan terhadap mereka.
“Guan Eng dan DAP cuba untuk menyalakan api permusuhan yang keterlaluan. Apakah mereka sangka kerjasama politik Pas dan UMNO bertujuan untuk menghapuskan hak dan kepentingan golongan bukan Melayu?
“Walhal, Pas mempunyai sayap parti Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri dari bukan Melayu dan bukan Islam.
“Malah, Pas telah menampilkan lebih ramai calon bukan Islam yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu,” katanya kepada media hari ini.
Serentak itu, kata Nasruddin, Pas menuntut Menteri Kewangan itu mohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan.
Kata beliau, kenyataan politik yang sangat bahaya itu boleh dimanipulasi oleh pihak yang ekstremis untuk melancarkan pelbagai tindakan propaganda supaya agenda penyatuan ummah gagal dan kebencian terhadap bukan Melayu dan bukan Islam terus dimomokkan.
“Perjuangan Pas dan tindakan politiknya sehingga kini menepati lunas feqah politik Islam dan juga tidak bercanggah dengan amalan demokrasi negara.
“Persoalannya kenapa Guan Eng dan DAP begitu cemas, takut dan panik dengan kerjasama politik antara Pas dan UMNO?” tegas beliau. – MalaysiaGazette