Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Laluan Baharu Go KL di Terminal Bas Perkeliling, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad menggelar gabungan antara bekas partinya, Pas dan UMNO sebagai gabungan antara perompak dengan penipu dan bakal menjadi gabungan yang mantap.

Dalam nada sinis, beliau berkata, gabungan UMNO dilihat sebagai satu gabungan ‘ampuh’.

“Bila perompak bekerjasama sesama mereka, kita mudah hendak lawan. Tetapi apabila perompak ini bekerjasama dengan penipu dan memakai baju keagamaan pula… wow ini bermakna perompak boleh bermaharajalela,” kata memetik laporan sebuah portal hari ini.

Khalid turut menerangkan mengapa beliau menggelarkan Pas sebagai parti penipu yang mana bekas Ketua Pemuda Pas yang kini Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pernah mengaku berbohong menjelang pilihan raya lalu apabila berkata bukan suara beliau dalam audio yang ditularkan.

Malah selepas pilihan raya, Nik Abduh pula berkata, beliau mengaku berbohong dengan kebenaran pemimpin Pas sendiri.

Khalid merujuk kepada audio yang didakwa suara Ahli Parlimen Bachok itu, tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Pada Selasa, Pas dan UMNO menjalinkan kerjasama yang dipanggil perpaduan ummah yang bermula sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia sehingga ke PRK Parlimen Port Dickson.

Malah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mengiyakan bahawa Pas dan UMNO sudah bersanding.

“Mula-mula kita bertunang di Sungai Kandis dan Seri Setia dan Kandis manakala di Cameron Highlands dan Semenyih pula, kita sudah bersanding,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas mempengerusikan bersama perbincangan Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas, dua hari lalu. – MalaysiaGazette