Klaus O dipenjarakan seumur hidup selepas didapati bersalah atas pertuduhan cuba membunuh. foto Agensi

BERLIN – Seorang mekanik dihukum penjara seumur hidup selepas meletakkan racun di dalam snek dan minuman rakan-rakannya tanpa sebarang sebab.

Mahkamah Daerah Bielefeld mendapati Klaus O, 58 bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh.

Tertuduh ditahan tahun lalu selepas kamera keselamatan merakamkan perbuatannya meletakkan serbuk di dalam sandwic rakan-rakannya.

Ujian yang dijalankan mendapati serbuk berkenaan adalah asetat, sejenis bahan yang boleh mengakibatkan kerosakan organ yang serius.

Siastaan yang dijalankan di kediamannya mendapati terdapat merkuri, plumbum, dan kadmium.

Akibat perbuatan tertuduh, dua rakan sekerjanya mengalami kerosakan pada buah pinggang mereka.

Defendan senyap sepanjang perbicaraan dan pendakwaan gagal mengenal pasti motif perlakukan tertuduh kerana hasil pemeriksaan mental mendapati Klaus O adalah normal.

Keputusan mahkamah itu mengejutkan kerana hukuman seumpama itu bagi kes cubaan membunuh jarang berlaku di Jerman.

Tertuduh juga dikenakan tahanan pencegahan kerana hakim percaya terdapat risiko tinggi Klaus O akan mengulangi kesalahannya lagi. – MalaysiaGazette