Ahmad Faizal
Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Situasi politik di Perak kembali hangat apabila terdapat dakwaan UMNO dan Pas akan menggulingkan kerajaan 10 bulan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

Dakwaan itu tersebar menerusi pesanan WhatsApp yang tular hari ini.

Pesanan itu mendakwa Pas dan UMNO (PASNO) sudah mendapat kepercayaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH untuk menyertai UMNO-Pas bagi mentadbir kerajaan negeri Perak.

“Terkini PASNO Perak dah ada 31 ADUN sain SD & sudah ada di tangan Sultan Perak. Kerajaan PH Perak akan tumbang bila-bila masa,” demikian menurut mesej berkenaan.

Menurut sumber yang rapat dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tidak mungkin untuk UMNO-Pas membentuk kerajaan kerana kekurangan tiga lagi kerusi.

“Tak mungkin untuk UMNO-Pas rampas kerajaan Perak, mereka cuma ada 28 kerusi.

“Tak benar dakwaan itu,” katakan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Malah menerusi maklumat yang diterima oleh wartawan yang berada di Perak juga menafikan dakwaan itu.

Menurut beliau, perkara itu telah dinafikan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

“Semalam Zainol (ADUN Sungai Manek) telah buat sidang media kata dia kekal dengan PH,” katanya menerusi WhatsApp.

Semalam, Zainol menafikan dakwaan kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, dakwaan itu berniat jahat dan pada masa sama mahu merenggangkan hubungannya dengan Ahmad Faizal.

“Secara peribadi saya tidak ada tekanan dengan apa yang ditularkan termasuk yang terkini (kononnya) saya menghadap tuanku (untuk dilantik Menteri Besar), semuanya pada saya tidak benarlah.

Zainol bertindak keluar BN pada Mei lalu dan menyokong PH serta kepimpinan Faizal di Perak.

Perak mengalami banyak episod-episod politik yang caca merba sejak 2009.

Selepas PRU tahun 2008, kerajaan Pakatan Rakyat (ketika itu gabungan DAP, PKR dan Pas) hanya bertahan selama sembilan bulan selepas dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP mengisytiharkan keluar parti dan menyokong BN.

Untuk rekod, kerajaan Negeri Perak hari ini ditadbir oleh PH yang mempunyai sebanyak 30 kerusi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Is that the best, you can give?

    start giving back the Rakyat, the trust & hope.

    why are the Rakyat not mentioned?

Comments are closed.