Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Tan Sri Datuk Mohd Yusof Hitam (tengah) diringi Timbalan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Datuk Ghazali Datuk Mohd Yusoff (kiri) dan Ahli Pewaris Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Tan Sri Abu Zahar bin Datuk Nika Ujang bercakap semasa sidang akhbar pentingnya Akta Hasutan 1948 di Wisma Bernama, Kuala Lumpur. 10 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) menentang sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat sesi ketiga bermula esok.

Pengerusi Majlis ADAB, Tan Sri Mohd. Yusof Hitam menegaskan, pihaknya menggesa agar akta tersebut terus dipertahankan demi melindungi kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Beliau menjelaskan, ADAB hanya akan menyokong sekiranya terdapat pindaan yang dibuat ke atas Akta Hasutan 1948 itu yang memberi kebaikan kepada kemakmuran dan keharmonian kepada rakyat.

“ADAB menggesa semua pihak berkepentingan yang mengaku kerajaan Malaysia sebelum ini menghormati batasan serta mengamal sebaik mungkin akan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa sebagai landasan unggul bagi keutuhan dan keamanan negara ini.

“Maka Akta Hasurtan 1948 harus diteruskan dan ADAB akan memohon perhatian daripada Majlis Raja-Raja sebagai pemegang tampuk kedaulatan dan kuasa negara tertinggi kepada pendirian ADAB ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ADAB yang turut dihadiri Timbalan Majlis Pengerusinya, Datuk Ghazali Mohd, Yusoff dan Ahli Pewarisnya, Tan Sri Abu Zahar Ujang. S

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan pendirian ADAB menerusi satu memorandum khas mengenai cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang berhasrat menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Pada Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, lebih 100 undang-undang akan digubal, dipinda, diperbaharui dan dimansuhkan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Namun senarai undang-undang itu yang dikemukakan adalah tidak muktamad dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Antara senarai undang-undang yang dikemukakan ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, Abu Zahar menegaskan, Akta Hasutan 1948 sama sekali tidak boleh dimansuhkan demi keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau menjelaskan apa akan terjadi kepada negara ini sekiranya semua rakyat bebas berkata apa tanpa mengira sensitivita agama dan kaum lain.

“Hendak pinda untuk kebaikan boleh teruskan, kalau mansuh ‘no way’ untuk berlaku. Alasan kerana akta ini adalah undang-undang percegahan dan sekiranya dimansuhkan cuba bayangkan sensitiviti semua rakyat boleh bercakap apa sahaja.

“Jangan lupa Seksyen 4 dalam akta itu dan ketika saya menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, undang-undang juga termaktub untuk Ahli Parlimen dan mereka tidak boleh bebas berkata apa-apa sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette