Laporan polis itu dibuat oleh Mohd Fikri Abdul Rahman, wakil daripada pejabat menteri bersama seorang lagi pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung satu video berunsur ugutan, ingin menyimbah asid terhadap menteri berkenaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Laporan polis itu dibuat oleh Mohd Fikri Abdul Rahman, wakil daripada pejabat menteri bersama seorang lagi pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

“Saya sahkan ada terima laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah,” katanya.

Video berdurasi dua minit 39 saat itu dimuat naik di media sosial oleh pengguna akaun Facebook, Otai Daulat 812, Rabu lepas.

Mohd Fikri dalam kenyataan hari ini berkata video itu memaparkan satu sesi perbincangan antara empat individu yang antara lainnya menjadikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai topik perbincangan yang diakhiri dengan seruan supaya Mujahid disimbah asid.

“Seruan ini adalah sangat merbahaya kerana ia menganjurkan suatu perbuatan jenayah serius yang boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut, malah video itu sendiri mengandungi berita tidak benar dan fitnah selain ancaman serius kepada menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Fikri mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas mengekang fitnah dan perbuatan hasutan yang berleluasa di media sosial.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast