KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan serta perkongsian kemakmuran.
Dasar yang mendepani cabaran ekonomi semasa itu akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang bakal menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar yang berkonsepkan perkongsian kemakmuran itu adalah komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membela hak dan dan kepentingan Melayu dan bumiputera.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan terus menggembleng usaha untuk mengangkat martabat warga Felda dan pekebun kecil yang sedang bergelut dengan masalah legasi pentadbiran yang lalu.
Kerajaan juga sedang memperhalusi inisiatif-inisiatif baharu yang lebih proaktif demi menjamin kemampanan sektor perladangan dan pertanian sekaligus meningkatkan pendapatan dan kuasa beli masyarakat desa
“Menerajui usaha ke arah modenisasi ekonomi berasaskan teknologi terkini serta berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0, maka Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memulakan siri perbincangan dan libat urus bersama pemegang
taruh utama dalam sektor ekonomi negara seperti dewan-dewan perniagaan, anak-anak syarikat kerajaan (GLC), badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berharap dengan pendekatan itu, ekonomi Malaysia akan kembali gah dan mampu bersaing dalam pasaran global. – MalaysiaGazette