Azih Muda

KUALA LUMPUR – Cadangan dasar penswastaan bagi mengurangkan jumlah kakitangan awam mungkin kaedah terbaik kepada kerajaan tetapi bukan kepada golongan pekerja di negara ini.

Lantaran itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengkaji semula cadangan berkenaan agar ia tidak menganiaya pekerja-pekerja dan bakal pekerja di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda memberitahu, jumlah penjawat awam yang didakwa tinggi di negara ini adalah daripada empat sektor iaitu pendidikan, kesihatan dan keselamatan sebanyak 1.1 juta.

“Yang ramai (kakitangan) adalah dalam sektor utama negara dan keperluan jawatan mereka adalah kritikal. Ia keperluan kepada rakyat dari aspek pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan negara.

“Manakala kakitangan sokongan pula hanya 600,000 orang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jumlah kakitangan sokongan itu, katanya, berpadanan dengan penduduk negara yang berjumlah 32.5 juta.

Beliau berpandangan, kerajaan sewajarnya memikirkan usaha dan kaedah untuk meningkatkan produktiviti dalam kalangan pekerja awam ini supaya ekonomi dapat ditingkatkan sekali gus memberi hasil lebih baik kepada negara.

Azih berkata, kenyataan demi kenyataan berhubung lebihan kakitangan awam tidak memberi gambaran yang baik dan membimbangkan penjawat kerajaan.

Selain itu, kenyataan sedemikian turut mencetuskan kerisauan kepada bakal-bakal graduan yang akan memasuki alam pekerjaan.

“Jadi, Cuepacs berharap kerajaan dapat melihat dan mengkaji semula cadangan berhubung dasar penswastaan ini kerana ia bukan penyelesaian menang-menang, mungkin baik kepada pihak kerajaan sahaja,” kata Azih.

Azih berkata, kenyataan itu berdasarkan pengalaman Cuepacs berdepan dengan bekas-bekas kakitangan awam yang diserapkan ke swasta seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia.

Dakwanya, kakitangan-kakitangan tersebut sehingga sekarang melahirkan rasa tidak puas hati kerana menerima pencen yang cukup kecil antara RM100 hingga RM200 sebulan.

“Ada dalam kalangan mereka meminta Cuepacs merayu bagi pihak mereka agar pencen ditambah. Sebab itu, saya katakan dasar penswastaan mungkin baik untuk kerajaan, sebaliknya bagi pekerja.

“Saya berharap kerajaan memberi pertimbangan sebaik-baiknya berhubung cadangan ini supaya tiada pekerja yang teraniaya,” ujar Azih lagi.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengkaji kaedah sesuai dalam mengurangkan jumlah penjawat awam yang terlalu ramai dengan memindahkan mereka ke sektor swasta.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, perpindahan itu adalah seperti mana yang pernah dilaksanakan kerajaan kepada Telekom dahulu dan ia memberi pilihan kepada kakitangan awam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: