KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer hari ini berang apabila Menteri Kewangan yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dikaitkan dengan isu skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.
Malah Rayer yang sering dikategorikan penyokong ‘tegar’ Guan Eng menjadi kurang sabar apabila Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri enggan menarik balik kembali dakwaan tersebut.
Ismail Sabri mohon penjelasan daripada Guan Eng berdasarkan artikel yang ditulis oleh blogger, Raja Petra Kamaruddin mendakwa tentang penglibatan Ahli Parlimen Bagan itu dengan skandal terowong dasar laut tersebut bernilai ratusan juta ringgit wang rakyat.
“Saya minta Ketua Pembangkang tarik balik dan sebut balik apa yang kamu cakap ini di luar Dewan. Kalau berani, cakap di luar. Ini adalah sangkaan jahat sebenarnya, siapa Raja Petra ini sebenarnya? Jangan jadi modal politik,” kata Rayer.
Bagaimanapun, Ismail Sabri mempertahankan kenyataannya sambil berkata, beliau sekadar membaca perenggan petikan daripada blog tersebut dan mahukan penjelasan daripada Guan Eng apabila berada dalam Dewan kelak.
“Sabarlah, saya belum habis lagi. Saya hanya baca petikan. Saya tidak habis lagi. Sabar dulu Jelutong,” kata Ismail Sabri.
Bagaimanapun, Rayer berterusan mengasak Ismail Sabri supaya menarik balik kenyataan tersebut selain daripada mengulanginya di luar Dewan.
Tindakan Rayer itu menyebabkan Dewan gamat khasnya dari barisan blok pembangkang yang rata-rata tidak berpuas hati kerana semalam pimpinan PH juga menggunakan petikan media menuduh pimpinan Pas terlibat dengan rasuah walaupun tiada bukti.
Selain Rayer, yang kemudian saling bangkit memberikan sokongan untuk menarik balik termasuk pimpinan DAP yang lain termasuk Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin; Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh; dan juga Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su.
Untuk hampir lima hingga 10 minit pertelingkahan lidah antara blok pembangkang dan kerajaan berterusan melahirkan rasa tidak puas hati, DAP merasakan tulisan Raja Petra tidak ada kredibliti manakala pembangkang hanya mahu penjelasan daripada Guan Eng.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof akhirnya meminta perkara itu tidak disebutkan lagi dan mahu Ismail Sabri meneruskan ucapan Ketua Pembangkang bagiMenjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong.
Tindakan Mohamad Ariff juga menyebabkan Rayer tidak berpuas hati sebaliknya menyatakan adalah tidak elok untuk membiarkan sahaja dakwaan serta tuduhan seperti itu diucapkan sesuka hati oleh pembangkang pada masa hadapan.
“Saya cabar Bera untuk cakap balik di luar Dewan. Yang Berhormat Speaker tidak boleh benarkan yang berada di sebelah sana (pembangkang) beterusan mengeluarkan tuduhan-tuduhan seperti ini pada masa hadapan,” desak Rayer.
Bagaimanapun, Mohamad Ariff sudah membuat ‘ruling’ dan meminta Ketua Pembangkang untuk menyambung hujah beliau yang tinggal beberapa minit sahaja lagi.
“Ruling saya kekal, perkara ini (terowong dasar laut) tidak boleh dibangkitkan selagi tidak ada bukti dan fakta selepas ini,” tegas Mohamad Ariff.
Rayer bangkit kembali dan mengingatkan bagaimana Ahli Parlimen Johor Bharu (PH), Akhmal Nasrullah Mohd. Nasir menarik kembali apabila didesak berbuat demikian semalam ketika membaca petikan media berhubung isu rasuah Pas.
“Semalam Johor Bharu sudah tarik balik, jadi yang sebetulnya Bera juga perlu menarik balik. Situasi yang sama,” jelas Rayer.
Mohamad Ariff tidak melayan sebaliknya menyuruh Bera menyambung sahaja hujahnya tanpa menyentuh isu berkaitan skandal terowong dasar laut itu.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bangkit dan mengingatkan bagaimana sebelum-sebelum ini, beberapa isu seperti 1MDB dipalitkan dengan bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak seringkali dirujuk menggunakan media seperti Sarawak Report.
“Sebelum ini boleh sahaja gunakan jurnal-jurnal dan laporan blog serta media mengaitkan pelbagai skandal tanpa bukti serta fakta, boleh sahaja. Saya mohon kebebasan bersuara untuk semua pihak,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah membuat laporan polis berhubung pendedahan Raja Petra mengenai kebocoron kertas siasatan membabitkan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang didakwa melibatkan Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/12/pembangkang-amuk-desak-akhmal-tarik-balik-kenyataan/