KUALA LUMPUR – Kerjasama di antara UMNO dan Pas tidak perlu ditakuti kerana kaum lain tidak menjadi sasaran sebaliknya tetap dilindungi, kata Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak.
“Kita kerjasama untuk kepentingan ummah, dan di samping itu kita jaga perlindungan kaum lain.
“Jadi tidak ada siapa yang harus bimbang kerjasama antara Pas dan UMNO,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.
Bekas Presiden UMNO itu menyerahkan hala tuju kesepakatan kedua-dua parti ditentukan oleh barisan kepimpinan.
“Apa yang berlaku dalam konteks ini terpulang kepada kepimpinan untuk menentukan pada kemudian hari, yang penting sekarang adalah prinsipnya,” tambahnya ringkas.
Pada 5 Mac lalu, UMNO dan Pas mengumumkan secara rasmi akan bekerjasama sebagai pembangkang dengan agenda utama ke arah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.
Namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan usaha itu demi mengembalikan Najib sebagai pemimpin serta menghalalkan jenayah didakwa dilakukannya.-MalaysiaGazette