Amirudin Shari
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor meminta penduduk di sekitar Taman Eng Ann di Klang supaya bertenang dan tidak panik dengan kejadian pembuangan sisa kimia di kolam takungan di kawasan itu, petang semalam.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, ini kerana pihaknya melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil langkah segera bagi membendung dan membersihkan sisa kimia berkenaan sejak jam 8 malam semalam.

“Saya menasihatkan kepada semua penduduk di sekitar kawasan Taman Eng Ann untuk bertenang dan tidak panik dari kejadian ini.

“Agensi kerajaan negeri akan melaksakan proses pembersihan secepat mungkin bagi keselesaan para penduduk.

“Sepasukan pegawai dari LUAS telah turun ke tempat kejadian dan telah meneliti keadaan semasa. Sampel sisa kimia telah diambil dan dihantar ke makmal bagi siasatan lanjut.

“Saya telah mengarahkan agar tindakan segera diambil untuk kerja-kerja mitigasi dilaksanakan serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, kini Sungai Klang berdekatan dengan Taman Eng Ann pula menerima nasib sama apabila dikesan tercemar dengan bahan kimia yang belum dikenal pasti dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak petang semalam.

Menurut Pengarah LUAS, Datuk Hashim Osman berkata, pihaknya mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang semalam.

Amirudin juga berkata, pihaknya telah melantik kontraktor pagi ini bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

“Saya juga telah meminta agar Unit Bencana Negeri Selangor memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan pihak LUAS, Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk menyelesaikan kes ini.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang tidak
bertanggungjawab membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan ini,” katanya.

Katanya lagi, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak LUAS bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar di kawasan Taman Eng Ann, semalam. – MalaysiaGazette