Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Seramai tiga pakar dari Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Saintifik.

Lantikan itu dibuat oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin bagi membantu memberikan maklumat dan pendapat saintifik kepada Jawatankuasa Bencana Pasir Gudang.

Ia dipengerusikan Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusoff dibantu Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM, Prof. Madya Dr. Jafariah Jaafar dan pensyarah kanan fakulti itu, Dr. Faizuan Abdullah.

Keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada agensi kerajaan dan pakar berkaitan antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Jabatan Meterologi, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, UTM dan Petronas.

Abdull Rahim ketika ditemui berkata, mesyuarat pertama dimulakan pada pukul 10 pagi Jumaat lalu di Pusat Gerakan Bencana di bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini.

“Fungsi jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti punca dan pergerakan bahan pencemar (environmental fate) dan kesannya terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

“Jawatankuasa ini juga akan mengenal pasti langkah, tindakan dan kawalan bagi menangani pencemaran bahan kimia beracun di Sungai Kim-Kim you ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk itu tambah beliau, pihak UTM juga diberi tanggungjawab untuk menjalankan persampelan kualiti udara, air, tanah dan darah untuk analisa kimia bagi menentukan punca pencemaran dan cara mengatasinya di sini. – MalaysiaGazette