Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman, Azkhalim Suradi sambil diiringi timbalannya, Roslan Ab Ghani serta Ahli Jawatankuasa dan peniaga yang lain bergambar bersama sambil memegang memorandum bantahan mengenai isu mempertahankan pasar malam untuk dikekalkan di Lorong Tuanku Abdul Rahman di Khemah Urusetia Pasar Malam, Jalan Bunus 6, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (PPPLTAR) membantah sebarang usaha untuk memindahkan tapak pasar malam tanpa berbincang bersama pihaknya terlebih dahulu.

Pengerusinya, Azkhalim Suradi berkata, pihaknya kesal apabila cadangan itu timbul tanpa melibatkan pihaknya sedangkan pasar malam di sini sudah beroperasi sejak 20 tahun tanpa sebarang gangguan.

“Kami tak pernah dipanggil untuk berbincang sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

“Berilah kami peluang dan selamatkan pasar malam yang telah dibangunkan sejak 1984 bermula dari Jalan TAR hingga dipindahkan ke Lorong TAR sejak 1998 hingga hari ini.

“Keputusan untuk memindahkan pasar malam keluar dari Lorong TAR bererti berakhirlah satu-satunya pusat aktiviti ekonomi orang Melayu di pusat bandar yang terkenal dan menjadi tarikan pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya pada sidang media di Jalan Bunus 6, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Khalid dalam satu sidang media sebagai berkata, pihaknya akan memindahkan tapak pasar malam ke lokasi lain.

Ia bagi memberi laluan kepada rancangan penutupan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki yang akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan antara lokasi baharu yang dicadangkan untuk tapak pasar malam berkenaan ialah di Jalan Raja dan Jalan Raja Laut.

Azkhalim juga berkata, pihaknya juga bercadang untuk menghantar memorandum bantahan kepada cadangan tersebut kepada menteri terbabit di Bangunan Parlimen, Isnin ini.

“Berilah kami peluang untuk berjumpa dengan Menteri atau Datuk Bandar DBKL agar kami dapat menjelaskan situasi sebenar mengenai pasar malam Lorong TAR bagi menyelesaikan kemelut pemindahan tapak pasar malam ini,” katanya.

Beliau tidak menolak pejabat menteri dan DBKL didakwa menerima tekanan berterusan daripada pihak tertentu agar tapak pasar malam terbabit ditutup.

“Kami difahamkan ada pihak berkepentingan mendesak tapak pasar malam itu ditutup, sekaligus dapat menutup periuk nasi Penjaja.

“Ia bertujuan untuk menghalau Penjaja dan beranggapan penjaja mengganggu perniagaan mereka dan seterusnya menafikan hak, sumbangan dan kewujudan kami selama 34 tahun di situ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast