Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan tiga warga Malaysia cedera dan seorang masih lagi hilang dalam insiden tembakan yang disasarkan ke dua buah masjid di Christchurch semalam.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kesemua mereka yang cedera kini menerima rawatan di hospital manakala usaha untuk mengesan individu yang hilang itu masih dijalankan.

Menurutnya, dua orang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington kini berada di Christchurch manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar akan ke Christchurch petang ini untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Saya telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters untuk menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya serta keluarga dan rakan mangsa.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan New Zealand kerana mengambil tindakan pantas mengembalikan undang-undang di kawasan terlibat dan memberi rawatan perubatan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Saiduddin berkata, kenyataan senator Fraser Anning yang menyalahkan fanatik Muslim, dasar imigresen New Zealand dan agama Islam secara umum yang menyebabkan insiden itu berlaku adalah jelek

Tambah beliau, kenyataan Anning menafikan realiti insiden tembakan tersebut kerana ia adalah tindakan keganasan terhadap komuniti Muslim yang tidak berdosa di tempat beribadah mereka tang mana pelakunya adalah milik organisasi ekstremis dan organisasi politik berhaluan kanan.

“Walaupun kenyataan Anning tidak mencerminkan pendirian kerajaan Australia, saya khuatir kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperasaan boleh mencetuskan lebih banyak jenayah kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia,” jelasnya.

Menurut Saifuddin, Malaysia menyokong Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan kerajaannya dalam mengutuk semua tindakan ganas dan menyokong menerajui jalan keamaan yang mampan dan harmoni sesama manusia menerusi dialog yang rasional, ceramah yang ilmiah dan integrasi secara aman antara individu yang berlainan bangsa, agama dan negara.  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast