KUALA LUMPUR – Perodua mensasarkan SUV tujuh tempat duduk baharu, Perodua Aruz, menjadi SUV terlaris di Malaysia Timur.

Ia sejajar dengan pasaran Malaysia Timur yang didominasi dengan pasaran segmen kenderaan tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Malaysia Timur kini menguasai bahagian pasaran 40 peratus bagi Perodua.

Sejak dilancarkan pada Januari lalu, lebih 4,000 unit kenderaan SUV daripada 14,000 tempahan yang diterima telah diserahkan kepada pemiliknya

“Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia telah mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda,” katanya selepas menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo semalam.

Dalam acara itu, enam unit Perodua Aruz memulakan penjelajahannya dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,500 km bermula dari 16 hingga 22 Mac ini.

Di sepanjang penjelajahan, pasukan konvoi akan singgah di bandar-bandar utama termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan untuk bertemu dengan komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua kepada mereka.

Zainal menambah, ketinggian 220 mm dari aras tanah memberikan Perodua Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu, di samping itu menawarkan pemanduan yang selesa dan kemampuan merentasi keadaan jalan yang lasak atau berlopak dengan mudah.

Tambahan lagi, struktur body-on-frame menjadikan ia sangat tahan lama dan mampu menampung beban.

Tujuh tempat duduknya boleh dilaraskan dalam pelbagai cara untuk disesuaikan dengan gaya hidup pemilik.

Turut ditawarkan, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang standard pada semua varian, ditambah juga Advanced Safety Assist 2.0 pada varian AV, menjadikan Perodua Aruz model yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.

Tiada lagi kerisauan tentang jarak stesen petrol seterusnya kerana Perodua Aruz adalah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diperakui kerajaan dengan penggunaan bahan api yang terbaik di kelasnya.

“Semua ini menjadikan Perodua Aruz sangat sesuai untuk Malaysia Timur, yang mana model yang memberi nilai terbaik ini ditawarkan dengan harga RM74,900 untuk varian X dan RM79,900 untuk varian AV,” kata Zainal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast