Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta institusi perbankan supaya memudahkan pemberian pembiayaan bagi merangsang perniagaan di negara ini.

Tambahan pula, banyak bank yang merekodkan keuntungan besar pada tahun lepas, katanya.

“Saya juga berharap supaya bank-bank lebih fleksibel di dalam memberi pinjaman kerana kami sering mendengar rungutan (mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman) sebelum ini.

“Saya dimaklumkan terdapat bank yang merekodkan keuntungan besar tahun lepas dan saya cuma ingin mengingatkan bahawa Malaysia tidak pernah mengenakan Cukai Keuntungan (windfall tax) kepada bank-bank, melainkan jika anda lebih suka membayar Cukai Keuntungan, lebih baik jika anda memudahkan pemberian pembiayaan,” katanya dalam sesi soal jawab sempena Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng juga memberi amaran kepada pengusaha hospital swasta supaya mengenakan caj yang munasabah kerana mereka telah dikecualikan daripada Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST).

Jelasnya, tujuan kerajaan mengecualikan cukai tersebut adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

“Hospital-hospital swasta ini telah pun dikecualikan daripada SST jadi saya harap mereka dapat mengurangkan kos atau setidak-tidaknya mengekalkan caj sedia ada (bukan menaikkan caj).

“Jika tidak, lebih baik kerajaan mengenakan SST kepada mereka. Saya harap mereka boleh memberi maklum balas dengan segera,” tegasnya.

Ketika menjawab satu soalan mengenai isu penjawat awam yang terlalu ramai, Guan Eng menjelaskan, kerajaan tidak berniat untuk memberhentikan mereka sebaliknya merancang untuk melakukan penswastaan terhadap beberapa agensi kerajaan sama seperti yang pernah dilaksanakan pada era 80-an dahulu.

“Kita pernah lakukan kepada Jabatan Telekom (kini Telekom Malaysia) yang mana daripada sebuah agensi kerajaan ia kemudiannya diswastakan.

“Kerajaan tidak akan memberhentikan kakitangan awam cuma memindahkan mereka menjadi sebuah syarikat swasta namun manfaat yang diperolehi semasa berkhidmat di dalam kerajaan masih dikekalkan,” katanya tanpa mengulas dengan lebih lanjut.

Secara umumnya, antara manfaat yang diperolehi kakitangan awam pilihan persaraan iaitu menyertai skim pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Guan Eng juga enggan menjawab agensi manakah yang telah dikenalpasti untuk diswastakan.

“Ianya di bawah Perdana Menteri, jadi beliau akan umumkan,” katanya.- MalaysiaGazette