Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

KUALA LUMPUR – Lebih 25 peratus daripada 1.7 juta penjawat awam di negara ini memiliki kad pskiatrik atau tekanan jiwa.

Itu pendedahan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Menurut beliau, penyumbang terbesar kepada peningkatan pemilikan kad itu adalah akibat tekanan kerja yang terlalu banyak sehingga mengakibatkan mereka diklasifikasikan sebagai pesakit jiwa.

“Dia tidak boleh fokus kepada kerja dan mereka akan kemurungan sehingga tidak boleh berkata apa-apa, diam sahaja.

“Contohnya, bila kita hadapkan mereka kepada panel untuk kita keluarkan dari perkhidmatan, mereka keluarkan kad psikatrik itu.

“Kami ada psikatrik katanya, maknanya kita dapati bahawa memang penjawat awam ini stress melampau yang akhirnya kerana dapat kad ini. Sebagai lesen kepada mereka.

“Mereka masih bekerja tapi mereka akan buat hal mereka sahaja, tidak bercakap dengan orang, mereka kemurungan dan tidak boleh bangun tidur pagi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat CUEPACS hari ini.

Jumlah itu dikeluarkan oleh Indeks Kesejahteraan Pekerja di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam sehingga pada awal tahun ini.

Psikiatrik atau tekanan jiwa merangkumi individu yang mengalami kemurungan tahap serius, mudah marah dan selalu menyendiri.

Malah tambah Azih, kesemua mereka masih melakukan tugas-tugas sebagai penjawat awam dan prestasi kerja mereka amat teruk dan sukar untuk dipulihkan.

“Mereka masih bekerja tapi mereka akan buat hal mereka sahaja, tidak bercakap dengan orang, mereka kemurungan dan tidak boleh bangun tidur pagi.

“Prestasi mereka agak teruk jadi sebab itu dibawah Indeks Kesejahteraan Pekerja ini kita nak pastikan bahawa pekerja kita dalam keadaan yang tekanan ekonomi dan kos sara hidup dengan mengawal diri mereka sendiri,” katanya.

Malah menurutnya, kos sara hidup juga merupakan salah satu sebab penyumbang kepada kenaikan indeks berkenaan.

Ujarnya lagi, antara sektor utama yang menyumbang kepada jumlah itu adalah sektor pendidikan dan kesihatan.

“Semua agensi ini ada yang stress dengan kerja, antaranya guru, pekerja hospital. Ada yang kerja sampai tiga syif, tidak boleh balik ke rumahnya dan ada antaranya berlaku penceraian.

“Keruntuhan rumahtangga jadi huru hara kehidupan mereka, mulanya baik sahaja tapi bila stress mereka akan kemurungan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejumlah 1.7 juta penjawat awam direkodkan sehingga kini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast