Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah 2019 di Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes berhubung rasuah di negara ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Anti Rasuah yang dipengerusikan beliau di sini petang tadi.

“Kerajaan akan menambah baik mahkamah khas rasuah dan ini adalah satu cadangan baru supaya ada mahkamah khas rasuah dan kita perlu tentukan kes-kes rasuah diberi masa dan tekanan oleh mahkamah khusus dan tertumpu kepada kes rasuah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat ketujuh mengenai anti rasuah itu membentangkan sebanyak 10 kertas mesyuarat telah dibincangkan termasuk lima kertas maklumat insiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023.

Hadir sama adalah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ujar Mahathir, penubuhan itu akan memerlukan pindaan terhadap undang-undang tertentu untuk merubah fungsi mahkamah.

Jelasnya, perkara itu perlu dilakukan kerana ia melibatkan penubuhan mahkamah khas ini untuk melawan rasuah.

“Penubuhan ini tidak akan beri kesan kepada mahkamah biasa kerana ia akan melibatkan mahkamah biasa juga. Pihak kerajaan sedang meneliti cadangan ini dan biasanya akan ada tiga lapisan proses di mahkamah.

“Jadi, kita akan perkenalkan mahkamah khas untuk tangani rasuah dan kes-kes melibatkan rayuan akan tetap dibuat di Mahkamah Rayuan,” ujarnya.

Mahathir berkata, langkah itu diambil kerana perbicaraan mengenai kes rasuah mengambil masa yang terlalu lama untuk dibicarakan.

“Kerajaan tidak masuk campur dengan proses pendakwaan tapi ini adalah masalah yang serius dan rakyat bertanyakan tentang ini.

“Kami mahu ada mahkamah yang mampu untuk membuat perbincangan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pelantikan hakim mengenai penubuhan mahkamah khas itu, Mahathir berkata, perlantikan kesemua hakim bagi mahkamah itu akan melalui proses biasa iaitu akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. -MalaysiaGazette