Sebuah kilang pemprosesan sisa elektronik yang didaftarkan atas nama warga Malaysia didalangi warga China di Klang berjaya digempur JIM sebelum 33 PATI diberkas dalam operasi pada 16 Mei lalu. Foto ihsan JIM Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga asing yang mendalangi aktiviti sebuah kilang tidak bernama yang disyaki memproses sisa elektronik atau e-waste yang didaftarkan ke atas nama warga tempatan terbongkar selepas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan ke atas kilang yang terletak di Klang, Selangor itu dijalankan pada Khamis lalu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dengan kerjasama
Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Operasi terbabit dijalankan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapatnya elemen eksploitasi pemerdagangan orang.

“Operasi serbuan menggunakan pendekatan siasatan awal mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Seramai 35 warganegara asing telah diperiksa dalam operasi ini dan hasil pemeriksaan JIM telah menahan seramai 33 warganegara asing terdiri daripada dua lelaki warga China, 27 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Kemboja dan masing-masing seorang wanita warga Myanmar dan Kemboja.

“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 19 hingga 40 tahun itu didapati bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ruslin, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan sewaktu ditahan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warganegara China.

Ujarnya, modus operandi kilang ini adalah memproses sisa elektronik yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

“Berdasarkan invois yang ditemui, sisa e-waste yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warganegara China yang berkemahiran.

“Bagi mengkaburi aktiviti ini, lelaki warga China tersebut akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini manakala hasil keuntungan dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000 setelah barangan siap dikitar semula.

“Berdasarkan risikan dan maklumat yang diperolehi daripada warganegara asing yang ditahan disyaki syarikat yang menjalankan kitar semula e-waste ini didaftarkan kepada warga Malaysia tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China,” ujarnya.

Tegas Ruslin lagi , pihaknya akan meneruskan usaha mengesan pemilik asal kilang itu berdasarkan nombor pasport yang diperoleh termasuk pemilik lot tanah tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“Imigresen sentiasa memandang serius akan isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu, syarikat dan majikan yang terlibat dalam menggaji PATI, amalan pekerja terabai dan membawa kepada elemen buruh paksa yang seterusnya membawa kepada isu eksploitasi.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670).

“Orang awam dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia agar tindakan undang-undang boleh diambil dalam usaha penguatkuasaan ke atas majikan, PATI serta untuk membanteras kegiatan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette