ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai melawat tapak pembuangan sampah haram di Bukit Teh, Machang Bubuk di sini. Berhampiran kawasan tersebut juga terdapat pembuangan beberapa tong yang dipercayai toksik.

BUKIT MERTAJAM – Sisa bahan kimia yang dipercayai dibawa masuk dari China telah dibuang secara haram di sebuah kawasan bekas lombong pasir di Bukit Teh di sini, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok, Lee Khai Loon hari ini.

Beliau mendakwa kegiatan itu berlaku sejak tiga tahun lepas di atas tapak seluas kira-kira dua hektar milik persendirian di kawasan itu, yang dijadikan tempat pembuangan sampah tanpa pengetahuan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Saya telah beberapa kali membuat aduan berhubung perkara itu kepada pihak MPSP dan membangkitkannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masalah ini tidak selesai malah semakin bertambah pula sisa industri dan pepejal di situ,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak berkenaan.

Menurutnya walaupun bekas lombong itu terletak jauh dari kawasan penduduk tetapi longgokan guni yang dipercayai mengandungi bahan kimia itu telah mengeluarkan debu dan berbau busuk yang menimbulkan kebimbangan orang awam.

“Walaupun berada jauh daripada kawasan penduduk tetapi tapak pembuangan sampah ini menjadi laluan penduduk untuk ke ladang sawit yang terletak berhampiran kawasan ini,” katanya.

Lee juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kegiatan itu, yang difahamkan bergerak pada waktu malam bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa terbabit.

Sementara itu, Anggota Majlis MPSP Ong Jing Cheng yang turut hadir berkata arahan segera telah dikeluarkan kepada pemilik tanah berkenaan untuk membersihkan kawasan itu dari sisa bahan industri dan pepejal berkenaan dalam tempoh 20 hari bermula hari ini.

“Sebelum ini MPSP pernah mengeluarkan arahan yang sama kepada pemilik tanah berkenaan namun dia mendakwa tidak mengetahui siapa yang membuang sisa-sisa itu di tanah miliknya,” katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti mereka yang melakukannya.

— BERNAMA