Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Dalam Negeri Tahun 2018 di Auditorium KDN Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 21 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Pihak penganjur Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini perlu akur akan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, tidak kira siapa pun, mahupun pangkat semua himpunan perlu mengikut Seksyen 9 (1) di mana penganjur perlu memberi notis kepada polis 10 hari sebelum himpunan diadakan.

“Tak kira siapa pun kalau nak adakan itu..ada peraturan dalam perhimpunan aman tu kan..jadi saya tak pasti tentang kedudukan sebenarnya.

“Apa pun satu pihak mana pun dia tak terkecuali. Maknanya dia kena bagitahu pihak polis. Notis maklum pihak polis dalam tempoh 10 hari,” katanya mengulas mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mahu menganjurkan himpunan berkenaan.

Selasa lalu, Mujahid berkata, perhimpunan untuk rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian, tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik.

Justeru itu katanya, mereka yang akan turun menyertai perhimpunan itu haruslah memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo parti politik.

Himpunan itu akan bermula di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Mujahid berkata, beliau sudah memanjangkan jemputan perhimpunan itu kepada menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selain barisan pembangkang. -MalaysiaGazette