Dr. Mujahid Yusof
Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan ke New Zealand hari ini bagi bertemu keluarga allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

Menurut pejabatnya, Muhajid akan mewakili Malaysia ke Christchurch bagi menguruskan jenazah Mohd Haziq yang terkorban dalam serangan pengganas terhadap dua masjid di sana.

“Menteri dijadualkan bertemu keluarga Allahyarham Mohd Haziq sejurus tiba di Christchurch. Selepas itu, Menteri juga akan menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah di salah sebuah masjid yang telah diserang serta menyampaikan khutbah Jumaat.

“Difahamkan, seluruh keluarga Allahyarham telah berada di Christchurch terlebih dahulu memandangkan bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut menjadi salah seorang mangsa,” demikian menurut Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, pihak kerajaan memohon agar semua masjid di seluruh Malaysia dapat mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Mohd Haziq selepas solat Jumaat esok.

Kematian Mohamad Haziq disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang parah dalam serangan itu, kini dirawat di sebuah hospital di negara itu.- MalaysiaGazette