KUALA LUMPUR – Segalanya seakan-akan berjalan lancar. Penerbangan dari Jaipur, India ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang mengambil masa hampir lima jam itu langsung tidak menghadapi sebarang masalah ketika berada di udara.

Juruterbang, Kapten Muhammad Fauwaz Zamzam yang mengetuai penerbangan itu pula bukan sebarang juruterbang. Berusia 37 tahun, beliau mempunyai lebih 7,000 jam penerbangan dan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat sepanjang 16 tahun pengalamannya menjadi juruterbang.

Antaranya Boeing 737, Airbus 320, Airbus 330 dan ATR72. Beliau juga menerbangkan jet peribadi jutawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan iaitu Global 5000 dan Challenger 300.

” Apa yang berlaku sungguh mengejutkan. Bayangkan kami sudah pun mendapat kebenaran daripada menara kawalan untuk mendarat, pendaratan itu juga sangat sempurna dan semuanya berjalan dengan baik.

” Malah tidak ada sebarang lampu isyarat amaran di atas landasan untuk mengingatkan kami bahawa terdapat kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di atas landasan ketika itu.

” Namun ketika kami sedang memperlahankan kelajuan pesawat (selepas mendarat), secara tiba-tiba kedengaran dentuman yang kuat di sebelah sayap, kami tidak tahu rupanya dah merempuh sebuah kenderaan sehinggalah bila berada di parkir,” kata Muhammad Fauwaz kepada Malaysia Gazette di sini malam tadi.

54519238_10157077531003050_2237766811204452352_nSelasa lalu, pesawat persendirian milik Berjaya Air melanggar kenderaan kejuruteraan milik Malaysia Airport Berhad sehingga menyebabkan petugas MAB di dalam kenderaan tersebut cedera parah.

Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali yang kritikal bagaimanapun meninggal dunia keesokan harinya.

Dalam perkembangan yang sama, Muhammad Fauwaz yang juga Pengurus Operasi Berjaya Air menjelaskan, Vincent tidak berada dalam pesawat tersebut ketika kemalangan itu terjadi.

Sementara itu, menurutnya, sepanjang lebih sedekad bertugas sebagai juruterbang, inilah pertama kali beliau berhadapan dengan insiden sebegitu.

Beliau juga terkilan kerana pelbagai andaian dan tuduhan liar dilemparkan pada pihaknya sedangkan kes itu masih lagi sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

54415230_10157077527653050_8327307555281829888_n

Beliau akui berasa sedih kerana insiden seperti ini boleh berlaku apatah lagi bila melibatkan nyawa.

” Apa yang boleh saya katakan, kami dah mematuhi segala prosedur yang ditetapkan dan kini saya harap kita semua tunggu hasil siasatan pihak berkuasa. Saya secara peribadi tabah serta redha dengan segala qada dan qadar, ketentuan Allah…namun untuk mengatakan ia mendatangkan trauma, tidak sama sekali.

” Juruterbang memang dilatih untuk berhadapan dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, biarpun pesawat dah selamat mendarat seperti mana yang insiden yang terjadi tempoh hari.

” Ini menunjukkan selagi pesawat bergerak, risiko tetap ada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Berjaya Air Sdn Bhd dalam kenyataan media mereka malam tadi mendakwa Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah tidak mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) untuk memaklumkan jika terdapat kerja-kerja penyelanggaraan sebelum pesawat syarikat itu melakukan pendaratan.

Syarikat penerbangan itu berkata, pesawatnya diterbangkan berdasarkan kelulusan pelan penerbangan yang telah dikemukakan kepada ATC susulan ketibaan seperti dijadualkan di lapangan terbang Subang.

“Juruterbang kami telah meminta kebenaran kekosongan landasan dan ATC pun telah memberi kelulusan untuk mendarat.

“Semasa mendarat tidak ada sebarang lampu isyarat amaran di atas landasan untuk mengingatkan KRU pesawat kami bahawa terdapat kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di atas landasan ketika itu.

“Lagipun, pesawat kami sudah pun mendarat di atas landasan dan diperlahankan kelajuan sebelum bertembung dengan kenderaan penyelenggaraan.” ujar syarikat itu.

Katanya, Berjaya Air tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini kerana tidak mahu prejudis terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun kata syarikat itu, sejak insiden itu dilaporkan secara meluas dalam akhbar, kebanyakan artikel media dan ruang sembang media sosia mengandungi fakta tidak sahih dan spekulasi berkenaan kemalangan tersebut. – MalaysiaGazette.