Anggota SPRM mengiringi seorang pegawai kanan SSM dan seorang pengarah konsultan projek yang ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung skandal projek melibatkan bernilai RM30 Juta di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 22 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Dua lelaki termasuk seorang lagi pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung skandal projek melibatkan suruhanjaya itu yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Suspek yang berumur 48 tahun ditahan reman bermula hari ini sehingga 26 Mac ini selepas Majistret Saifullah Qamar Siddique Bhatti membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kedua suspek yang memakai baju lokap SPRM dan bergari tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini pada pukul 9.40 pagi bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Kedua suspek ditahan secara berasingan kira-kira pukul 12.30 tengahari semalam dan 11 malam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber itu, siasatan awal mendapati pegawai kanan berpangkat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah sebuah syarikat perundingan telah bersubahat bersama-sama tiga lagi individu yang telah direman sejak tiga hari lalu bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya perkhidmatan.

Selasa lalu, seorang pegawai kanan SSM berpangkat pengarah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung skandal projek melibatkan suruhanjaya itu yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Turut ditahan reman bagi tempoh sama ialah dua pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) terkemuka di ibu negara. – MalaysiaGazette