Datuk Seri Dzulkefly Ahmad. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Rakyat disarankan supaya tidak terlampau bimbang dan panik dalam menghadapi cuaca panas El-Nino yang melanda negara ketika ini beserta musim jerebu yang kian menghampiri negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, memandangkan musim jerebu semakin hampir, kumpulan rakyat dinasihati tidak berada di luar agak lama, sebaliknya diminta mengekalkan persekitaran dalaman.

“Minum air banyak-banyak, pakai topeng muka dan basuh tangan serta mandi dan tabir baik berkenaan perlu diamalkan setiap hari.

“El Nino pula jangan terlampu bimbang tetapi mengambil langkah yang bijak menghadapi cuaca panas kali ini,” kata beliau ketika ditanya pemberita selepas Fun Run Hari Kanser Sedunia 2019 di Institut Kanser Negara pagi tadi.

Beliau juga menegaskan rakyat supaya tidak cemas, khuatir dan panik ketika menghadapi cuaca panas terik yang dijangka berlarutan sehingga Mei ini.

“Yang penting ialah langkah langkah proaktif yang harus kita buat untuk menanganinya secara baik,” katanya. – MalaysiaGazette