Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Tahap kesedaran rakyat mengenai risiko dan penyakit kanser masih rendah di negara ini.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bersempena Hari Kanser Sedunia yang disambut di Institut Kanser Negara pagi tadi.

Beliau tidak duduk senang dan sekadar mengkritik namun perlu mengambil tindakan untuk menyedarkan rakyat mengenai bahaya kanser.

“Janganlah marah sangat dengan Kementerian Kesihatan sekiranya kita melaksanakan larangan merokok yang mana baru-baru ini kita melancarkan program jaga gula kerana rakyat perlu elak obesiti yang merupakan antara lima faktor risiko menyebabkan kanser selain merokok dan arak berlebihan itu yang saya maksudkan.

“Jadi amalkan cara hidup sihat dan boleh elak semua amalan berisiko tetapi yang penting sekali jangan khuatir dan jangan mengelak daripada tampil buat saringan kanser setelah dikenalpasti kalau tahap 1 atau dua payudara atau paru-paru.

“Segera datang untuk rawatan, jangan pergi ke seluruh dunia dan bila balik ke sini akhirnya sudah peringkat ketiga dan keempat pula, kamu tidak boleh buat apa apa,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Fun Run Hari Kanser Sedunia yang disertai lebih 2,000 orang termasuk 200 pejuang kanser bersama ahli keluarga mereka pagi ini.

Menurut beliau, kanser merupakan penyakit yang sangat kompleks yang memerlukan rawatan terapi yang cermat.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan mempunyai kemudahan perubatan dan pembedahan yang maju ke hadapan yang boleh membantu pesakit merawat dan mencegah kanser.

“Kita bukan hanya ada perubatan dan pembedahan tetapi kita juga mempunyai terapi imunisasi yang canggih dan lebih ke hadapan serta terapi bersasar.

“Jadi tanpa melengah-lengahkan masa datanglah kepada fasiliti dan pakar onkologi kami yang bersedia untuk membantu anda untuk mendapatkan rawatan.

“Dalam Peka B40 kami memberikan RM1,000 untuk semua golongan miskin dan berpendapatan rendah B40 untuk datang menjalani rawatan susulan.

“Kami memberi insentif ini untuk kamu lengkapkan rawatan, kamu datang kami berikan RM1,000 jangan lepaskan peluang ini.

“Selain itu mana mana individu dalam golongan B40 yang tampil ke rawatan juga disediakan peruntukan kos pengangkutan iaitu RM500 untuk di semenanjung dan RM1,000 untuk rakyat di Sabah dan Sarawak dan tolong jangan abaikan kemudahan ini demi menjamin warganegara yang sihat sejahtera,” ujarnya.

Beliau berkata, kanser merupakan penyakit kedua tertinggi penyebab kematian di negara ini.

Kini tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki Malaysia ialah kolorektal (16.4 peratus), paru-paru (15.8 peratus) dan nasopharynx (8.1 peratus).

Manakala dalam kalangan wanita pula kanser jenis payudara menyumbang 32.1 peratus, diikuti kolorektal 10.7 peratus dan kanser rahim 7.7 peratus dan beban penyakit berkenaan dijangka meningkjat disebabkan prevalen faktor faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang tinggi dan populasi penua di negara ini.- MalaysiaGazette