polis
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (empat kiri) memeriksa kawalan kehormat sempena Sambutan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap akan menyalurkan peruntukan kewangan yang diperlukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam memastikan pasukan keselamatan itu mempunyai kelengkapan yang sesuai dan teknologi terkini.

Sungguhpun melibatkan kos tambahan, kerajaan komited melakukannya kerana prihatin terhadap keperluan pasukan polis dalam usaha meningkatkan keupayaannya dengan mengambil kira beban tugas yang mencabar dalam menjaga keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata, kini PDRM bukan sahaja berhadapan dengan jenayah konvensional dan ancaman pengganas namun kini berhadapan dengan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

“Dalam konteks ini, pihak kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan oleh anggota keselamatan seperti PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Ini termasuklah dalam menangani ancaman militan Daesh di negara.

“Saya difahamkan bahawa sehingga kini, seramai 464 orang ahli kumpulan pengganas Daesh telah ditangkap oleh pihak polis. Kerajaan percaya ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini.

“Syabas juga saya ucapkan kepada seluruh warga PDRM kerana mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah Negara.

“Indeks jenayah bagi tahun 2018 telah merekodkan sebanyak 88,662 kes berbanding dengan nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes. Ianya penurunan sebanyak 11.9 peratus,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perutusan Sambutan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini.

Majlis bermula pukul 8.30 pagi tadi dengan ketibaan dan pemeriksaan kawalan kehormat 15 kumpulan kecil perbarisan dan aset-sset PDRM oleh Tun M yang diiringi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dengan menaiki kenderaan istiadat.

Ia disusuli kawalan lintas hormat jabatan-jabatan dalam PDRM termasuk VAT 69, Pasukan Gerakan Am dan Unit Tindakan Khas.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador merangkap pemangku Timbalan Ketua Polis Negara; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Setiausaha Negara, Dr. Ismail Bakar dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Menurut Dr. Mahathir, statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang kini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran negara.

“Kepada mereka yang telah gugur sebagai wira-wira negara, marilah sama-sama kita doakan semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat.

“Sesungguhnya, dedikasi dan khidmat bakti seluruh warga pasukan PDRM akan terus dihargai dan dikenang oleh Negara dan seluruh rakyat Malaysia serta generasi kita yang akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu sedar walaupun amanah untuk menjaga keselamatan negara terletak dibahu PDRM, keberkesan tindakan-tindakan mereka bergantung kepada kerjasama bersama.

“Jika kita mengambil sikap tidak mahu ambil tahu ataupun memalingkan muka apabila berlaku sesuatu jenayah terhadap orang lain dan kita tidak mengambil inisiatif untuk melapor kepada pihak polis, penjenayah itu mungkin akan terlepas.

“Jangan kita lupa satu hari, apabila jenayah berlaku terhadap kita dan orang lain mengambil sikap tidak ambil tahu seperti kita dahulu, kita akan menderita dan penjenayah itu akan bebas,” katanya. – MalaysiaGazette