Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Jeritan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek terowong bawah laut mewarnai kekecohan di Dewan Rakyat di sini pada sesi petang hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mula menimbulkan isu 1MDB apabila Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) menyoal hutang negara telah meningkat sejak akhir tahun 2017.

Guan Eng ketika sesi penggulungan titah diraja itu mendakwa bahawa kerajaan sebelum ini telah menyembunyikan hutang 1MBD dengan tidak menyertakan jumlah sebenarnya.

Suasana mula panas apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bangun dan menuntut untuk mengetahui siapa yang menyembunyikan angka tersebut.

Turut mencelah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, kerajaan cuba menjadikannya hutang negara yang didakwa berjumlah RM1 trilion itu disebabkan oleh skandal 1MDB.

Padahal kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu, ia disebabkan projek pembangunan lain seperti Lebuhraya Pan-Borneo.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan terus diasak oleh penyokong pembangkang termasuk Najib lagi yang berkata defisit negara menurun setiap tahun semasa beliau menjadi perdana menteri.

Namun Tony Pua (PH-Damansara) meninggikan suara kepada Najib dengan mengatakan terdapat hutang tersembunyi sebelum ini.

Beberapa pemimpin turut melakukan provokasi apabila menjerit perkataan terowong dan meminta Guan Eng memberi jawapan.

Ini membuatkan Dewan Rakyat tidak pernah aman sejak sesi pagi bermula hingga ke petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast